102 Rumah Di Kulim Rosak Dibadai Ribut

Mohamad (dua, kanan) turut meluangkan masa melawat mangsa ribut di Kampung Jubai S-C dekat sini semalam dan turut menyumbangkan barangan keperluan harian.
KULIM - Sebanyak 102 rumah rosak di tujuh kampung dalam daerah ini terlibat dalam kejadian  ribut yang berlaku pada petang kelmarin.

Antara kampung dan kawasan terlibat adalah Paya Jemeli, Karangan, Ladang Bukit Sidim, Kampung Keda Bagan Sena, Kampung Kamunting, Kampung Jubai S-C serta Kampung Bagan Serai.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kulim, Mohamad Md. Nor berkata, ribtu yang berlaku kira-kira jam 3.30 petang itu menyebabkan bumbung di bahagian dapur dan ruang tamu rumah penduduk tercabut.

Menurutnya, pihaknya telah pun memberi bantuan barangan keperluan harian kepada mangsa terlibat dan siasatan juga sedang dijalankan terhadap kediaman mereka.

“Kita telah pergi ke semua kampung terlibat dan mengedarkan barangan sumbangan berupa keperluan harian.

“Kerosakan kediaman di kawasan Kampung Jubai S-C agak teruk kerana ada  rumah dihempap pokok tumbang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, JKM juga sedang mempertimbangkan untuk memberi bantuan bagi membaik pulih rumah yang terlibat dan anggaran jumlah kira-kira RM150, 000.

Katanya, mangsa ribut juga turut dibantu Skuad 1Malaysia, Penghulu Mukim Bagan Sena, dan Pejabat Daerah Kulim sama ada dari segi tenaga kerja atau bantuan barangan keperluan.

Manakala mangsa ribut di Kampung Jubai S-C, Hamidah Hashim, 59, berkata, ketika kejadian dia bersendirian di rumah kerana suaminya mengambil anak mereka di sekolah.

Menurutnya, ketika itu hujan lebat berserta guruh dan kilat malah bunyi angin seperti kipas helikopter.

“Walau hanya 15 minit sahaja angin kuat, namun tanpa disangka angin berkenaan menerbangkan lima keping bumbung rumah sehingga menyebabkan kediaman dimasuki air hujan.

"Melihat keadaan itu, dia tidak mampu berbuat apa-apa sebaliknya memaut tingkap di kawasan ruang tamu apabila bumbung rumah mula diterbangkan angin," katanya.

Seorang lagi mangsa, Abdul Hamid Hasan, 63 berkata, angin kencang yang seakan berpusar itu telah merosakkan  bumbung di bahagian dapurnya dan menyebabkan kerugian RM3, 000.

Jelasnya, dia sempat mengazankan sebanyak dua kali ketika kejadian berlaku.

“Ketika kejadian juga cucu dan anak saya berada di dapur untuk menjamu selera tetapi hasrat itu terbantut apabila angin mengangkat bumbung.

“Bagaimanapun, saya bersyukur  kerana tiada sesiapa yang cedera dalam kejadian itu,” katanya. -Sinar Harian