11 Lelaki, 226 Motosikal Disita Polis Johor

Gambar Hiasan
JOHOR BAHRU – Polis menahan 11 lelaki atas pelbagai kesalahan jalan raya dan menyita 226 motosikal sepanjang tiga hari Ops Roda Bersepadu yang diadakan sejak 24 April, di sini.

Ketua Polis Johor, Datuk Rusli Ahmad berkata, kesemua lelaki yang berumur antara 20an dan 30an, ditahan pada operasi yang bermula pada pukul 5 petang di Jalan Stulang Laut dan Jalan Pantai Lido.

Mereka merupakan antara 993 individu yang diperiksa sepanjang operasi itu.

Dua kawasan itu merupakan lokasi kegemaran untuk samseng jalanan berkumpul serta membuat aksi yang membahayakan nyawa sendiri dan pengguna jalan raya lain, kata Rusli dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan 394 saman trafik atas pelbagai kesalahan jalan raya dalam pemeriksaan melibatkan 644 motosikal itu.

“Kesalahan lazim yang dilakukan ialah mengubah suai struktur kenderaan di bahagian ekzos dan nombor pendaftaran kenderaan serta memandu tanpa lesen atau lesen tamat tempoh dan cukai jalan tamat tempoh,” kata beliau. – BERNAMA