124 Warga UUM Terima Pingat Perkhidmatan Setia

ALOR SETAR - Sebanyak 124 warga kerja Universiti Utara Malaysia (UUM) dianugerahkan Pingat Perkhidmatan Setia UUM 2015 (PPSUUM) oleh Canselornya Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Rabu lepas.

Tunku Puteri Intan Safinaz yang juga Tunku Panglima Besar Kedah dalam titahnya berkata pengiktirafan itu diharap dapat membakar semangat penerima anugerah untuk memberi yang terbaik dalam menjalankan tugas.
  
"Ia juga akan menjadi teladan kepada warga kerja baharu sekali gus dapat menjadi perangsang kepada seluruh warga UUM untuk menyalakan tekad ke puncak cita-cita demi nusa dan negara," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan UUM.
  
Katanya anugerah tersebut membuktikan keprihatinan institusi pengajian itu terhadap warga kerja yang telah berkhidmat selama 25 tahun untuk membangunkan UUM sehingga mencapai pelbagai kemajuan sejak ia ditubuhkan 30 tahun lalu.
  
Tunku Puteri Intan Safinaz bertitah mereka yang telah menabur bakti dalam membangun dan memajukan universiti sejak 25 tahun lalu diminta untuk terus memberi sumbangan berterusan kepada universiti itu.
  
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima anugerah atas pengiktirafan yang diterima dan berbangga atas kesetiaan yang ditunjukkan kepada organisasi sekaligus menyumbang kepada bangsa, negara dan agama. - Bernama