1,352 Pengundi Cina Positif Pada BN Di Rompin - MCA

ROMPIN – Masyarakat Cina memberi maklum balas memberangsangkan terhadap calon BN, Datuk Hasan Arifin, dalam tempoh empat hari berkempen, pada PRK Parlimen Rompin.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, Hasan sememangnya dikenali oleh masyarakat Cina dan dianggap mudah didampingi serta mampu menjalankan tugas dengan baik.

“Calon ini masyarakat Cina sudah kenal dan merupakan satu aset dan kelebihan kepada BN,” katanya kepada pemberita selepas menyertai acara Jom Sihat peringkat daerah Rompin di sini, hari ini.

Pada acara anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integriti Nasional negeri Pahang dan Kawasan Rukun Tetangga Daerah Rompin itu, Wee turut melakukan senaman ‘tai chi’ bersama warga emas dari sekitar daerah berkenaan.

Wee bagaimanapun berkata, MCA tidak akan leka dengan sokongan diterima daripada masyarakat Cina pada ketika ini, sebaliknya akan terus berusaha dengan lebih kuat bagi meraih sokongan terutama di kawasan bandar.

“Kita mahu memastikan peti daerah mengundi di kawasan bandar di mana dahulunya kita tewas, kita menang, ini sasaran kita,” katanya.

Dalam pada itu, Wee berkata MCA mengambil maklum isu dan keperluan yang dibangkitkan masyarakat Cina untuk tindakan kerajaan BN.

Katanya, antara keperluan itu termasuk menambah baik infrastruktur di kawasan muara Tanjung Gemok bagi kemudahan nelayan serta menarik lebih ramai pelancong.

Selain itu, katanya, MCA memberi penerangan terperinci berhubung pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan bagi mengelak kekeliruan di kalangan asyarakat Cina di sekitar kawasan parlimen itu.

“Kita akan menggunakan pendekatan pragmatik dengan menjawab satu persatu perkara yang dibangkitkan, dan jika calon BN dipilih, saya rasa kita tidak ada masalah melaksanakan permintaan-permintaan penduduk,” katanya.

PRK Rompin pada 5 Mei ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas dengan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Hasan dan calon Pas, Nazri Ahmad.

Terdapat sejumlah 1,352 pengundi Cina atau tiga peratus daripada 53,294 pengundi dalam Parlimen Rompin. – BERNAMA