Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim |
KOTA BAHARU – Seramai 16 anggota polis di Kelantan dikenalpasti
positif dadah sejak Januari hingga Mac lepas, kata Ketua Polis Kelantan
Datuk Mazlan Lazim.
Mazlan berkata pihaknya telah mengambil tindakan tegas terhadap anggota terbabit.
“Pihak kami telah membuat prosedur yang teliti serta mengambil
tindakan tegas kepada anggota yang terlibat dan bersekongkol dengan
pengedar dadah.
“Ia berikutan anggota ini menyukarkan pihak kami untuk melakukan
operasi dan tidak dapat melakukan tangkapan akibat kebocoran maklumat,”
katanya kepada pemberita selepas merasmikan upacara penutup program
Walkathon “Benci Dadah” di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di
sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Rosli Abdul Rahman dan
Pengerusi Inspirasi Penubuhan Persatuan Keluarga Polis (Perkep)
Kelantan Datin Siti Aishah Haron.
Dalam perkembangan berkaitan, Mazlan berkata pihaknya akan terus memburu pengedar dadah di negeri ini.
“Hasilnya, seramai 154 pengedar dadah berjaya ditangkap sejak Jan
hingga Mac lepas dalam Ops Jaya berbanding 135 kes dalam tempoh sama
tahun lepas,” katanya.
Sementara itu, katanya, seramai 81 pelajar sekolah bakal mengikuti
kursus pemulihan dadah bagi kem motivasi pencegahan jenayah sebagai
langkah kerjasama polis dan pihak sekolah untuk membanteras dadah di
peringkat sekolah.
Program Walkathon “Benci Dadah” itu telah disertai kira-kira 1,000
peserta daripada kalangan remaja, belia dan orang dewasa. – BERNAMA