Adakah portal berita pro-pembangkang dan Tun M ‘bekerjasama’ merosakkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia?
1. Dulu Tun M kata dia tidak menuduh Datuk Seri Najib tetapi hanya
bertanya. Tun M juga kata dia tidak menyuruh Najib meletak jawatan dan
digantikan, tetapi hanya bertanya. Tun M terbukti berbohong apabila ada
video yang mengesahkan dia tidak bertanya, sebaliknya membuat kenyataan
mahu Najib digantikan kerana kononnya Najib mempunyai terlalu banyak
skandal.
2. Dulu Tun M mendakwa duit 1MDB yang ‘lesap’ adalah RM42 bilion. Tun
M bertanya ke mana wang ini pergi dan mempersoal sama ada 1MDB
benar-benar mempunyai aset dan tanah? Sekarang ‘wahyu’ terbaru Tun M
menyebut jumlah yang ‘lesap’ bukan RM 42 bilion tetapi hanya RM27
bilion. Tun M turut membantu menyenarai dan menganggar nilai aset 1MDB
walaupun dulu didakwa kononnya 1MDB tiada aset.
3. Blogger dan cybertrooper pro Tun M pula sudah semakin keliru.
Walaupun tidak faham kisah sebenar 1MDB mereka terpaksa mengubah skrip
untuk disesuaikan dengan ‘wahyu’ terbaru Tun M.
4. Dalam blognya, Tun M mendakwa 1MDB sebagai syarikat dengan modal
RM1 juta tidak boleh meminjam sehingga 42,000 kali nilai modalnya tanpa
sandaran dan hanya boleh berbuat demikian dengan jaminan kerajaan. Tun M
juga cuba memberi gambaran seolah-olah semua hutang 1MDB dijamin
kerajaan dan jika 1MDB rugi, kerajaan akan menanggung akibatnya.
5. Tun M nampaknya menyembunyikan fakta bahawa hanya RM 5.8 bilion
hutang 1MDB yang dijamin kerajaan. Baki hutang yang lain dijamin oleh
1MDB, disandarkan kepada aset atau dijamin oleh rakan kongsi, iaitu,
International Petroleum Investment Co PJSC (IPIC), sebuah syarikat
pelaburan kerajaan Abu Dhabi. Tun M juga gagal menjelaskan bahawa 1MDB
adalah syarikat dengan liabiliti terhad dan kerugian syarikat tidak
ditanggung oleh kerajaan melainkan bon yang dijamin kerajaan.
6. Satu lagi perkara yang perlu dijelaskan adalah dakwaan bahawa1MDB
gagal membayar hutang sebanyak RM5.5 bilion yang dipinjamkan oleh 5 buah
bank, iaitu Maybank (58.9 %), RHB (32.4 %), Alliance Investment Bank
Bhd (4.06%), Malaysia Building Society Bhd (3.24%) dan Hwang DBS
Investment Bhd (1.29%). Ada blogger pro Tun M yang cuba menyamakan
kegagalan ini dengan kegagalan Renong-UEM (pada zaman Tun M) dan
kegagalan sistemik sistem kewangan dan perbankan negara walaupun agensi
penarafan Moody menafikan hutang 1MDB akan mengakibatkan kegagalan
sistemik. Hakikatnya 1MDB telah membayar secara penuh hutang sebanyak
RM2 bilion kepada Maybank dan RHB pada 13 Februari 2015, lebih awal dari
tempoh berakhir pinjaman mengikut syarat yang ditetapkan dan baki
sebanyak RM3.5 bilion telah ditukar kepada hutang jangka panjang
berakhir pada Ogos 2024.
7. Dalam blognya, Tun M turut menyebut tentang isu komisen Goldman
Sachs dan kadar faedah bon yang tinggi. 1MDB telah menjelaskan tentang
perkara ini dan sejumlah perkara lain dalam FAQ 1MDB di laman web 1MDB.
Mungkin Tun M belum berkesempatan membacanya.
8. Tun M bukan auditor yang dipertanggung jawabkan untuk mengaudit
akaun 1MDB dan tidak mempunyai kuasa penyiasat seperti Jawatankuasa
Kira-kira Wang Parlimen (PAC) yang mendapat akses kepada dokumen dan
transaksi 1MDB. Disebabkan itu dalam blognya Tun M sekadar mampu
mencongak dan menganggar nilai pelaburan dan aset 1MDB.
9. Dalam blognya, mungkin Tun M terlepas pandang beberapa perkara
seperti aset dan pelaburan 1MDB dalam industri tenaga, antaranya:-
i. pemilikan 15 loji kuasa dan desalinasi di enam buah negara, Mesir,
Bangladesh, UAE, Sri Lanka, Pakistan dan Malaysia dengan kapasiti
penjanaan tenaga bersih 5594MW
ii. pembinaan 3 lagi loji kuasa baru, iaitu Jimah East Power di Port Dickson, loji kuasa Gas di Melaka dan loji Solar di Kedah
iii. pembelian 310 ekar tanah di Pulau Indah untuk projek-projek yang berkaitan dengan tenaga
10. Tun M juga mungkin tersalah anggar nilai aset dan pelaburan 1MDB dalam bidang hartanah, misalnya:
i. pembangunan 70 ekar tanah di Tun Razak Exchange (TRX) yang
mempunyai Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM40 bilion dan
dijangka dapat menarik lebih 250 syarikat global, mewujudkan 500,000
pekerjaan secara langsung dan tidak langsung
ii. pembangunan 495 ekar projek Bandar Malaysia dengan nilai
pembangunan kasar RM155 bilion yang dihubungi laluan Keretapi
Berkelajuan Tinggi ke Singapura dan MRT Kuala Lumpur, salah satu
stesennya dari TRX serta dapat menjadi pemangkin pembangunan koridor
selatan Malaysia dengan kawasan pertumbuhan satelit di Seremban, Batu
Pahat, Muar, Melaka dan Bandar Nusajaya.
iii. pembinaan lapan kemudahan ketenteraan baru untuk TUDM dan PDRM
bernilai RM2.7 bilion, termasuk dua lapangan terbang udara baru, iaitu
500 ekar pangkalan TUDM di Sendayan dan flying wing PDRM di Subang.
iv. pembelian tanah dan pembinaan 30,000 rumah kos rendah dan mampu
milik khususnya di Pulau Pinang (9999 unit) dan di Lembah Klang (20,000
unit di Bandar Malaysia)
11. Tulisan Tun M lebih banyak berbentuk dakwaan dan permainan
persepsi, termasuk cubaan mengaitkan 1MDB dengan Jho Low dan Riza Aziz.
Sehingga sekarang Tun M masih tidak dapat mengemukakan sebarang bukti
yang kukuh tentang penggelapan wang yang dilakukan oleh kedua mereka.
12. Dalam hal ini, Petrosaudi telah menyatakan bahawa pelaburan ini telah dipulangkan bersama keuntungan dan ia tercatat dalam
akaun beraudit. 1MDB juga telah menyatakan pelaburan dalam syarikat
usahasama dengan Petrosaudi ini telah ditukarkan ke dalam bentuk nota
Murabaha dan dibayar sepenuhnya pada jumlah AS$2.318 bilion dengan
keuntungan sebanyak AS$488 juta pada tahun 2013.
13. Dakwaan tidak berasas dan permainan persepsi ini tidak
mendatangkan sebarang manfaat melainkan hanya untuk menghakis keyakinan
terhadap ekonomi dan kepimpinan negara. Didapati terdapat usaha
berterusan memainkan persepsi negatif walaupun kerajaan telah memberi
komitmen untuk melaksanakan audit forensik, siasatan oleh PAC, tidak
akan melindungi pihak yang bersalah dan tidak akan mem’bail-out’ 1MDB.
14. Selain Tun M, portal pro-pembangkang juga turut berusaha
menghakis keyakinan pelabur terhadap kepimpinan dan ekonomi negara.
Artikel The Edge Review, yang turut disiarkan oleh Malaysian Insider
menggunakan tajuk “Controversies raise Malaysia’s risk profile”
menyiarkan berita bahawa agensi penarafan sedang berura-ura untuk
menurunkan penarafan kewangan negara walaupun Naib Presiden dan Pegawai
Kanan Kredit bagi Institusi Agensi Penarafan Moody, Eugene Tarzimanov
telah menyatakan bahawa hutang 1MDB tidak akan mengakibatkan kesan
sistemik terhadap sistem kewangan dan perbankan negara kerana jaminan
dan dedahan hutang 1MDB adalah terhad dan mempunyai sandaran. Kenyataan
Moody ini konsisten dengan kenyataan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zetty
Akhtar, CEO 1MDB Arul Kanda dan jawapan-jawapan Datuk Seri Najib dan
Datuk Seri Husni Hanadzlah di Parlimen.
15. Walaupun fundamental atau asas ekonomi negara adalah kukuh dan
keyakinan terhadap ekonomi negara sangat tinggi (terbukti apabila Sukuk
Global Malaysia yang diterbitkan terlebih langganan sehingga RM32.8
bilion), namun ia masih boleh dirosakkan oleh khabar angin dan permainan
persepsi yang negatif terhadap negara.
16. Sepanjang tempoh beberapa tahun ini peranan menghakiskan
keyakinan terhadap kepimpinan dan ekonomi negara dimainkan secara
konsisten oleh pemimpin pembangkang dan portal pro pembangkang, tetapi
kali ini nampaknya Tun M turut serta.
17. Tun M mahu batalkan GST? Adakah ini kerana auta atau fakta?