KUALA LUMPUR – Dua lelaki berusia 20-an ditemui mati, dipercayai
dikelar dan dicekik rakannya akibat perselisihan faham, dalam sebuah
kereta di KM10 Jalan Bristol, Rawang di sini awal hari ini.
Kejadian itu berlaku kira-kira 1 pagi tadi dan mayat kedua-dua lelaki
itu ditemui orang awam kira-kira 8 pagi, yang kemudian memaklumkan
kepada polis.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Ali Ahmad berkata berdasarkan siasatan
kedua-dua lelaki itu dipercayai mengambil empat rakan mereka di Taman
Pelangi, Rawang untuk ke Kuang bagi menyambut Tahun Baru Tamil.
“Siasatan awal mendapati, ketika di lokasi kejadian salah seorang
suspek telah mengeluarkan kata-kata yang mengguris perasaan pemandu
kereta itu yang merupakan seorang sami sambilan hingga mengakibatkan
mangsa bertindak mengeluarkan sebilah pisau pemotong kertas lalu mengacu
ke arah suspek yang duduk di arah belakang.
“Tindakan mengejut mangsa tersebut dipercayai menyebabkan
perselisihan dan menyebabkan suspek mencapai pisau berkenaan dan
mengelar leher pemandu kenderaan tersebut,” katanya kepada pemberita di
Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, di sini hari ini.
Katanya tindakan itu dipersoalkan seorang lagi mangsa yang duduk di
sebelah pemandu dan menggertak untuk melaporkan perkara itu kepada pihak
polis.
“Suspek yang dipercayai takut dengan tindakan mangsa itu kemudian
bertindak menjerut leher mangsa kedua tersebut sehingga mati dengan
menggunakan tali pinggang keledar,” katanya.
Ali berkata keempat-empat suspek tersebut kemudian dipercayai
mengalihkan kedudukan mangsa pertama ke bahagian tempat duduk penumpang
belakang dan cuba menolak kenderaan itu ke dalam gaung tetapi gagal,
menyebabkan kereta itu tersangkut di tepi gaung.
Menurutnya, dua suspek telah ditahan di sekitar Rawang sejam selepas
pihaknya mendapat laporan berhubung insiden itu iaitu kira-kira 9 pagi
tadi manakala dua lagi suspek telah dikenal pasti.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.– BERNAMA