20 Rumah Di Pokok Sena Rosak Teruk Dilanda Ribut

Ahmad menunjuk bumbung rumahnya hilang selepas dibawa angin ribut di Kampung Alor Cina, semalam.

POKOK SENA - Sebanyak 20 rumah di Mukim Tualang dan Mukim Tajar rosak apabila ribut yang melanda petang kelmarin menyebabkan beberapa bahagian bumbung rumah mangsa diterbangkan angin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, kebanyakan penduduk sedang berehat di rumah dengan keadaan cuaca yang mendung dan berangin, namun tiba-tiba dikejutkan bunyi angin kuat.

Mangsa, Ahmad Mi, 56, dari Kampung Alor Cina, Mukim Tualang berkata, dia tidak menyangka angin yang mulanya perlahan tiba-tiba menjadi kuat hingga menerbangkan keseluruhan bumbung rumahnya itu.

Menurutnya, dia mengarahkan semua ahli keluarganya keluar kerana keadaan rumah semakin bergegar.

"Kami menumpang teduh di rumah sebelah dan beberapa minit kemudian angin mula menerbangkan keseluruhan bumbung rumah saya.

"Kami hanya mampu melihat sahaja bumbung rumah diterbangkan angin sejauh 20 meter dan tercampak ke dalam sawah di belakang rumah,” katanya.

Menurut Ahmad, dia bersyukur kerana pada masa itu tidak ada sesiapa berada di luar kawasan rumah.

Rakannya, Ahmad Fauzi Harun, 39, pula berkata, semasa kejadian dia sedang mengemaskan kedai makannya untuk pulang bersama keluarganya.

Katanya, angin itu datang seperti bergulung-gulung dan sungguh menakutkan hingga dia terpaksa bergegas mengemaskan barangan di kedainya itu.

“Bimbang dengan keselamatan anak yang berada di dalam kedai saya bawa mereka masuk ke dalam kereta dan lori. Tidak lama kemudian zink bumbung kedai diterbangkan angin.

“Pada masa itu, saya berada di luar kedai dan sempat melihat zink-zink itu berterbangan di udara serta tercampak sejauh 80 meter dari kedai saya.

"Nasib baik masa itu jalan tidak ada orang, kalau tidak sudah pasti terkena bumbung zink itu,” katanya.

Menurut Ahmad Fauzi, kejadian ribut itu menyebabkan dia kerugian hampir RM5,000 selepas bumbung zink kedainya yang baharu ditukar ranap dalam kejadian ribut berkenaan. -Sinar Harian