39 Syarikat Sertai Kempen Turun Harga

KUALA LUMPUR – Sebanyak 39 syarikat melibatkan peruncitan, pengilang dan peniaga rangkaian restoran menyertai Kempen Penurunan Harga 2015 setakat semalam, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek.

Beliau berkata ia melibatkan 1,329 cawangan di seluruh negara dengan penawaran diskaun sehingga 87 peratus membabitkan 487,879 produk.

“KPDNKK sentiasa mencari inisiatif baharu bagi meringankan beban rakyat demi memastikan kesejahteraan mereka.

“Antara inisiatif yang telah dilakukan adalah melaksanakan kempen penurunan harga yang telah dilancarkan pada 1 Mac lalu yang mendapat sambutan amat baik daripada pelbagai pihak ” katanya ketika melancarkan Kempen Penurunan Harga 2015 KK Group di sini, hari ini. Turut hadir Pengerusi Eksekutif KK Group Datuk Dr KK Chai.

Beliau menyeru lebih banyak lagi syarikat peruncitan, pengilang, peniaga rangkaian restoran menyertai kempen penurunan harga ini bagi membantu meringankan beban rakyat.

Sementara itu, Hasan berkata sejak Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan pada 1 April, beberapa syarikat dikenal pasti telah melanjutkan tempoh kempen penurunan harga itu.

“Misalnya The Store Corporation Sdn Bhd, mereka telah melanjutkan tempoh kempen selama dua bulan iaitu bermula 1 April hingga 31 Mei melibatkan sebanyak 401,506 produk dengan tawaran diskaun sehingga 70 peratus melibatkan 74 cawangannya di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Chai berkata penyertaan Syarikat KK Supermart Group of Companies dalam Kempen Penurunan Harga 2015 melibatkan 197 cawangannya di seluruh negara dengan tawaran diskaun sehingga 87 peratus bagi 245 produk.

“Sepanjang tempoh kempen yang bermula pada 1 April hingga 31 Mei ini, kami juga akan menanggung 6 peratus Cukai Barangan dan Perkhidmatan bagi barangan yang dikenakan cukai itu.

“Manakala bagi tambah nilai kad Touch N’ Go, kami turut menanggung caj servis sebanyak 50 sen sehingga hujung tahun ini,” katanya. -Bernama