JOHOR BAHRU – Terdapat 400,000 penjawat awam di negara ini masih
menerima gaji serendah RM805 sebulan, kata Presiden Kongres Kesatuan
Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda.
Beliau berkata, mereka yang menerima gaji sedemikian kebanyakannya
adalah pembantu am dan pemandu yang masuk ke perkhidmatan awam
menggunakan kelayakan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
“Yang menerima gaji minimum itu ialah golongan pelaksana dan mereka
adalah rakyat serta aset kepada kerajaan dan negara. Jika aset ini tidak
dijaga, kita bimbang mereka terkesan dan tidak dapat menumpukan
sepenuhnya jiwa dan raga untuk meningkatkan produktiviti.
Selain itu, mereka juga tidak akan dapat memberikan pendidikan yang
baik kepada anak-anak disebabkan kewangan yang tidak mencukupi, di
samping tidak mampu menanggung kos kesihatan yang kini meningkat 120
peratus,” katanya.
Azih berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Forum Ekonomi Penjawat Awam 2015 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tuntutan CUEPACS yang mahukan
kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam sebanyak 35 peratus bagi
menjadikan RM1,200 sebulan sebagai gaji minimum.
Azih berkata pihaknya berharap kerajaan dapat memberi pertimbangan
sewajarnya kepada permintaan tersebut memandangkan kos sara hidup kini
meningkat di kawasan bandar-bandar utama.
“Kita faham kedudukan kewangan kerajaan berubah mengikut pertambahan
bilangan rakyat. Akan tetapi evolusi yang berlaku menyebabkan kos sara
hidup meningkat di bandar-bandar utama.
“Di Johor contohnya, penjawat awam sudah hampir tidak boleh hendak menyesuaikan kehidupan,” jelasnya.
Selain meningkatkan gaji, kongres itu juga meminta kerajaan agar
menyemak semula kadar pengecualian cukai pendapatan penjawat awam
sehingga 100 peratus sebagai mengurangkan bebanan kos sara hidup yang
terpaksa ditanggung masa kini. – BERNAMA