5 Lelaki, 2 Wanita Ditahan Polis Kedah Suspek Kes Bunuh, Samun

ALOR SETAR - Polis menahan lima lelaki dan dua wanita yang terlibat dalam kes bunuh dan samun bersenjata di sebuah rumah dihuni warga Myanmar di Kampung Mat Aris, Jeniang, Sik pada 9 April lepas.
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata mereka yang ditahan terdiri daripada lima rakyat tempatan, termasuk seorang wanita, serta dua warga Myanmar berketurunan Rohingya termasuk seorang wanita, yang kesemua mereka berumur antara 20-an hingga 30-an.
  
Beliau berkata kesemua suspek ditahan polis antara Selasa hingga Sabtu lepas di beberapa lokasi berbeza di sekitar negeri ini dan Pulau Pinang.
  
Katanya dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 pagi itu lima suspek tidak dikenali, yang mana dua daripada mereka bersenjata pisau dan bertopeng telah melarikan wang tunai RM500, tujuh telefon bimbit, dokumen peribadi dan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).
  
"Salah seorang dari enam mangsa yang berada dalam rumah itu diculik oleh suspek yang melarikan diri dengan menggunakan dua buah kereta," katanya dalam kenyataan hari ini.
  
Mohd Nashir berkata lelaki Myanmar yang diculik itu ditemui mati pada 18 April lepas di tali air Kampung Palas, Tobiar, Pendang kira-kira 7.20 malam dan punca kematian disebabkan kecederaan oleh senjata tumpul.
  
Katanya hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada masalah hutang dan pertikaian mengenai penyeludupan migran dan pihaknya juga sedang mengesan baki suspek yang masih bebas.
  
Beliau berkata hasil tangkapan itu pihaknya telah merampas lapan telefon bimbit, dua buah kereta curi iaitu jenis Proton Wira yang dilaporkan hilang di Jitra serta Proton Saga.
  
Katanya kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan 302 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek direman hingga 30 April dan 4 Mei depan bagi membantu siasatan.
  
Sementara itu seramai 62 lelaki warga Myanmar berumur 11 hingga 40 tahun ditahan sepasukan polis di Kampung Tok Saka, Hutan Kampung di sini awal pagi tadi.
  
Mohd Nashir berkata dalam operasi pada pukul 1.40 pagi itu pihaknya turut menahan dua lelaki Myanmar berumur 20-an dan 30-an yang juga anggota sindiket penyeludupan dan pemerdagangan manusia.
  
"Hasil siasatan mendapati 62 lelaki warga asing itu tidak mempunyai sebarang dokumen dan ketika diselamatkan mereka berada dalam keadaan kotor dan keletihan," katanya.
  
Beliau berkata kes tersebut disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas)(Sosma) 2012 dan Akta Imigresen 1959/1963. –Bernama