Pengarah Kastam KLIA, Datuk Chik Omar Chik Lim (kiri) semasa sidang media mengenai kejayaan menggagalkan cubaan menyeludup dadah bernilai RM1.15 juta, hari ini. - Foto BERNAMA |
SEPANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mematahkan cubaan menyeludup dadah
jenis methamphetamine seberat 6.06 kg bernilai RM1.15 juta oleh seorang
wanita warga Pakistan pada 29 Mac lepas.
Pengarah Kastam KLIA Datuk Chik Omar Chik Lim berkata dadah itu
ditemui disembunyikan di dalam 25 pelapik kusyen dalam bagasi milik
wanita berusia 50 tahun itu selepas imbasan mendapati terdapat objek
mencurigakan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua pelapik kusyen pelbagai corak
dan warna itu mengandungi serbuk kristal jernih putih yang kemudiannya
diuji positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam sidang media
di sini hari ini.
Beliau berkata wanita yang tiba dari Karachi dengan menaiki
penerbangan Pakistan Airlines itu kini ditahan reman tujuh hari dan kes
disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Chik Omar berkata tangkapan itu merupakan yang pertama membabitkan
cubaan menyeludup menggunakan modus operandi menyorokkan dadah dalam
pelapik kusyen yang dijahit rapi dan teliti berbanding penggunaan kasut,
paip ekzos, kamera dan payung sebelum ini.
Siasatan awal mendapati suspek yang datang bersendirian itu juga
pernah memasuki negara ini sebanyak tiga kali pada tahun lepas,
katanya.- BERNAMA