ALOR SETAR - Rentetan daripada isu wang lesap, pengurus yang sudah berkhidmat
selama 22 tahun dengan Zamani Slam kini tidak dibenarkan berjumpa dengan
penyanyi itu.
Merujuk kepada tindakan keluarga dan peguam Zamani sejak dia
dimasukkan ke sebuah pusat pemulihan itu, pihak pengurusannya menganggap
ia adalah tidak adil.
“Sejak Zamani menerima rawatan dia tidak dibenarkan berjumpa
selain keluarga dan peguamnya sahaja. Bagi saya tindakan itu tidak adil
kerana pengurusan lebih tahu banyak perkara tentang kerjayanya.
“Ia termasuk urusan persembahan yang dipersetujui lebih awal, perlu
diselesaikan bagi mengelak masalah lain pada masa hadapan,” jelas wakil
pengurusannya yang dipetik dari mStar Online.
Sebelum ini di sebuah sidang media, Zamani yang diwakili abangnya,
Zulfazil menyatakan penyanyi itu mempunyai masalah kewangan dan
memerlukan wang sebanyak RM50,000 bagi menjalani pembedahan tulang
belakang.
Sementara itu pengurus Zamani, Johan menyatakan setiap wang hasil
persembahan Zamani dimasukkan ke dalam akaun peribadi artis itu sendiri.
Pihaknya juga terbuka untuk selesaikan perselisihan ini dengan cara
baik dan tidak perlu dihebohkan kerana ianya akan memalukan nama Zamani.
“Dan sebab itu saya tidak berhasrat untuk menjelaskan secara lanjut
berhubung dakwaan itu. Abang Zamani sepatutnya lebih tahu ke mana
perginya semua wang Zamani,” katanya. -Kedahnews.com