Ada Pihak Curi Barang Milik Awal Ashaari Ketika Kemalangan

ALOR SETAR - Pelakon dan pengacara terkenal, Awal Ashaari mengadu mengenai beberapa barang peribadi miliknya yang hilang dan dipercayai telah dicuri ketika terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Melaka baru-baru ini.

Menurutnya, dia sama sekali tidak menyangka ada pihak yang tergamak dan sanggup mengambil kesempatan ketika orang sedang dalam kesusahan.

Dia memaklumkan bahawa antara barang miliknya yang hilang dalam kejadian itu termasuklah kasut yang dipakainya ketika berlaku kemalangan itu.

“Saya tahu selalunya apabila berlakunya kemalangan, ada saja orang yang tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan terhadap kejadian yang berlaku terutamanya mencuri barang- barang mangsa.

“Bagi saya itu tidak patut kerana mereka perlu menghulurkan bantuan. Saya juga mengalami nasib yang sama apabila beberapa barangan keperluan penggambaran milik saya diambil.

“Peliknya kasut yang saya pakai pun boleh hilang. Mujurlah dompet saya tidak dicuri,”  katanya yang dipetik dari mStar, hari ini.

Dalam kemalangan tersebut, kereta yang dinaiki Awal dan dipandu rakannya terbabas dalam satu kemalangan di Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) berdekatan Hentian Rawat & Rehat (R&R) Ayer Keroh, Melaka arah selatan pada 29 lalu. -Kedahnews.com