Keadaan Mikael ketika menjalani pembedahan pertama pada usia 10 bulan. |
ALOR SETAR - Hanya tinggal tiga bulan lagi, penderitaan Nazel Mikael
Ahmad Shabani diharapkan berakhir melalui pembedahan di Institusi
Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.
Ibunya, Nor Izati Hamzah, 27, berkata, mereka sekeluarga perlu berulang
alik ke hospital menunggu untuk mendapatkan masa sesuai pembedahan anak
keempatnya.
“Namun, kami bersyukur apabila doktor menetapkan tarikh 29 Julai nanti,
iaitu selepas Hari Raya Aidilfitri untuk pembedahan Mikael yang
menderita penyakit jantung songsang.
“Cumanya, saya sedikit risau dan takut memikirkan keadaan Mikael
dibedah nanti, tetapi dia tetap perlu melakukannya demi memastikan dia
sembuh,” katanya.
Menurut Nor Izati, keadaan Mikael tidak banyak berubah berbanding
sebelum ini kerana dia masih tidak mampu berjalan seperti kanak
seusianya meskipun hampir berusia dua tahun.
“Bagaimanapun, Mikael nampak lebih sihat jika dibandingkan awal-awal
dahulu. Cumanya, dia tidak boleh terlalu aktif kerana akan memberi kesan
kepada kesihatan,” katanya.
Katanya, dia perlu memberi tumpuan kepada Mikael kerana anak lelakinya
itu akan mengalami penat sekiranya terlaku aktif, meskipun ketika
bermain seorang diri.
Lagipun, katanya, Mikael hanya mampu bergantung kepada susu khas setiap
bulan kerana masih tidak mampu menjamah makanan keras seperti nasi.
Katanya, mereka tidak hanya perlu menyediakan kira-kira empat tin susu
khas berharga RM80 setiap satu, malah dua daripada empat anaknya sudah
bersekolah.
Izati berkata, dia gembira sekiranya ada pihak membantu kerana
pendapatan suami, Ahmad Shabani Abdullah, 31, sebagai mekanik sekitar
RM900 sebulan masih tidak mencukupi.
Oleh demikian, mereka yang berhasrat meringankan beban keluarga Izati
boleh menyampaikan sumbangan melalui akaun CIMB mereka (0203 0006 7672
02).
Sumber: Sinar Harian