Adik Nurul Huda Jannati Akhirnya Pergi Jua 5 Minit Sebelum Hari Lahirnya, Al--Fatihah...


ALOR SETAR - Hasrat hati adik Nurul Huda Jannati Abdullah untuk menyambut ulangtahun harijadinya yang ke-4 apabila ajalnya tiba kira-kira lima minit sebelum tiba tarikh hari lahirnya yang jatuh pada 31 Mac, semalam.

Menurut sumber, seisi keluarga termasuk ayahnya, Zaini Tajuddin, 39, bersama ibunya, ibu angkat dan sanak saudara lain difahamkan telah berkumpul bagi meraikan anak kecil itu sempena hari kelahirannya, namun tidak kesampaian.

"Kami seisi keluarga termasuk ayahnya, Zaini Tajuddin, 39, bersama ibu Nurul, ibu angkat dan sanak saudara lain berkumpul bagi menyambut ulang tahun kelahiran Nurul.

"Bagaimanapun, dia pergi dahulu sebelum hari istimewa tersebut. Sesungguhnya ALLAH SWT lebih menyayangi Nurul," kata neneknya, Azimah Ahmad, 59,

Adik Nurul Huda Jannati dilaporkan meninggal dunia pada jam 11.55 malam pada 30 Mac setelah bertahun menderita menghidap penyakit "bilateral open lipschizencephaly" yang menyebabkannya terpaksa terbaring ekoran kepalanya yang membesar luar dari biasa.

Biarpun redha dengan pemergian cucu tersayang, neneknya, Azimah percaya bahawa ajal yang menjemput adik Nurul itu menamatkan penderitaan yang ditanggung tubuh kecil itu selama ini.
Sanak saudara dan Zaini (kiri), menziarahi Nurul Huda Jannati di Hospital Sultanah Bahiyah sebelum ini.
"Sebelum ini, segala kesakitan Nurul kita tidak tahu kerana dia tidak mampu bercakap. Jadi, mungkin ALLAH SWT ingin tamatkan penderitaannya," katanya, hiba.

Memetik laporan Sinar Harian, jenazah adik Nurul Huda telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seberang Perak, di sini, kira-kira jam 11 pagi semalam, selepas 12 hari terlantar di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), akibat jangkitan kuman.

Kami di Kedahnews.com mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga arwah adik Nurul dan semoga Allah SWT menempatkannya di syurga, bersesuaian dengan makna namanya, "Jannati" yang membawa maksud "syurgaku". 

Semoga tenanglah adik Nurul di sana dan kami doakan agar arwah akan menunggu kedua ibu bapanya di akhirat kelak dengan secangkir air yang bakal menghilangkan dahaga keduanya nanti, insyaAllah. -Kedahnews.com