Adun BN Kota Seputeh Nafi Dakwaan Adun BN Bukit Lada

Datuk Abu Hassan Sharif (di depan sekali) bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dalam satu program di Jerlun
ALOR SETAR - Ahli  Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Siputeh, Datuk Abu Hassan Sharif menafikan kesemua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di negeri Kedah bersetuju untuk mendesak Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar sekiranya enggan menyatakan pendirian untuk menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Abu Hassan menegaskan kenyataan yang disuarakan Adun Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin adalah tidak benar dan ia mungkin bersifat satu pandangan peribadi.

Beliau berasa hairan dengan kenyataan Ahmad kerana kesemua wakil rakyat sudah menyatakan persetujuan untuk mengeluarkan pendirian bersama Kerajaan Negeri pada 24 April ini.

Datuk Abu Hassan Sharif
"Semua bersetuju, dah sepakat termasuk Ahmad Lebai Sudin, pada 24 April (keluar kenyataan rasmi),” kata Abu Hassan dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, Ahmad tidak seharusnya mengeluarkan desakan tersebut kerana semua persetujuan telah pun dicapai dalam pertemuan bersama Mukhriz pada Ahad lalu.

Tegasnya lagi, sebagai seorang Adun di Kedah, semua pemimpin harus menghormati segala keputusan yang telah dibuat oleh Menteri Besar kerana ia bertujuan menjaga kehormonian pentadbiran Kerajaan Negeri.

"Sepanjang 20 tahun saya menjadi wakil rakyat (Umno), tidak pernah ada kumpulan wakil rakyat yang boleh mendesak atau bertindak MB letak jawatan.

“(Tindakan) ini tidak sesuai," katanya lagi.

Datuk Ahmad Lebai Sudin
Terdahulu,  Mukhriz menyifatkan tindakan Ahmad yang terburu-buru mendesak beliau menyatakan pendirian adalah satu perkara tidak wajr dilakukan.


Mukhriz berkata, Ahmad mungkin terlalu 'ghairah' untuk mengeluarkan kenyataan di media walaupun ia sudah dipersetujui sebelum ini bersama wakil-wakil rakyat yang lain. - Kedahnews.com/ Mohd Shahir Shukor