Adun UMNO Kedah Gesa Mukhriz Letak Jawatan Jika...

Alor Setar – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir digesa supaya segera meletak jawatan sekiranya enggan lagi menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Gesaan tersebut dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin dalam kenyataannya di sini, hari ini. 

“Menteri Besar adalah jawatan yang dilantik oleh Perdana Menteri dengan sokongan Ahli Dewan Undangan Barisan Nasional, sekiranya beliau tidak lagi menyokong Perdana Menteri, elok letak jawatan,” katanya ketika ditemui di sini, pagi tadi.

Beliau yang mengulas mengenai satu mesyuarat yang diadakan di kediaman Menteri Besar itu padi tadi mendedahkan bahawa sebahagian pemimpin UMNO Kedah meluahkan rasa kecewa mereka dengan tindakan Mukhriz yang masih tidak menzahirkan pendirian terhadap kepimpinan Najib.

Mukhriz juga turut disifatkan bersikap "tarik tali" dan enggan membuat sebarang kenyataan terbuka menyokong kepimpinan Perdana Menteri yang telah melantik beliau sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, sekaligus Menteri Besar di negeri itu.

Dalam ulasannya, Ahmad juga menegaskan bahawa Mukhriz harus bijak membezakan antara sokongan kepimpinan parti dengan isu persepsi yang dilemparkan terhadap Mohd Najib selaku Presiden UMNO.

“1MDB adalah isu pengurusan yang sedang disiasat oleh Jabatan Audit Negara ia tidak harus menjadi “benchmark” kepada kepimpinan Mohd Najib. Perdana Menteri sendiri berjanji sekiranya ada salah laku dalam 1MDB, tindakan tegas akan diambil,” tegasnya lagi

Ahmad dalam pada itu turut menyatakan Mukhriz berbeza pendapat dengan beliau dan ahli-ahli Parlimen yang hadir di mesyuarat berkenaan.


Dalam pertemuan tersebut, beliau menjelasakan bahawa Mukhriz hingga kini berpendirian akan menunggu siasatan terhadap 1MDB selesai sebelum menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri.

“Mukhriz menyatakan beliau hanya akan menyokong Najib sekiranya (siasatan) yang dijalankan mendapati 1MDB itu tidak bersalah, namun jika siasatan mendapati sebaliknya, beliau akan bersama-sama rakyat” ujarnya kepada Kedahnews.com.

Namun menurut Ahmad,  kenyataan Mukhriz itu telah dibidas oleh Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Mohd Johari Baharom yang turut hadir dalam perjumpaan tersebut.

Katanya, Mohd Johari menegaskan kepada Mukhriz bahawa isu sokongan terhadap Perdana Menteri tidak seharusnya berpaksi kepada persepsi terhadap isu 1MDB semata-mata.

Ahmad memaklumkan bahawa jemputan perjumpaan pagi tadi telah dilakukan oleh Setiausaha Politik kepada  YAB Menteri Besar, Datuk Azimi Daim petang semalam kepada  Ketua-Ketua Umno Bahagian, ahli-ahli parlimen dan Adun-Adun negeri Kedah bersama MB.

“Saya dimaklumkan perjumpaan yang diadakan bertujuan untuk menyokong Perdana Menteri, namun ketika perjumpaan tersebut Menteri Besar berkata beliau berpihak kepada rakyat.

"Saya pun hairan rakyat mana? Ramai juga rakyat yang menyokong Najib sekarang.

“Hari ini kita sepatutnya membuat kenyataan menyokong kepimpinan PM jadi tidak perlu membincangkan isu-isu lain yang tidak berkaitan,” katanya lagi.

Difahamkan bahawa selain belian, antara Adun yang turut hadir dalam perjumpaan tersebut Nor Saidi Nayan (Kuah), Kama Noriah Ibrhaim (Pedu), Dato' Abu Hasan Sarif (Kota Siputeh) dan Dato' Ahmad Zaini Japar (Bukit Kayu Hitam).

Manakala antara barisan Exco yang hadir  adalah Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Dato Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Belia Dan Sukan, Aminuddin Omar, dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan & Kerajaan Tempatan, Dato Haji Badrol Hisham Hashim.

Seterusnya, antara Ketua UMNO Bahagian yang turut bersama di mesyuarat itu adalah Datuk Mohd Rozai Shafian (Pendang), Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (Baling), Datuk Johari Baharum (Kubang Pasu), Dato Seri Mahdzir Khalid (Padang Terap) dan Abdullah Hasnan (Kuala Kedah).

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah melancarkan "serangan" bertali arus secara terbuka terhadap Najib, antaranya menyentuh mengenai kes pembunuhan mendiang Altantuya, 1MDB dan "nasib BN" di bawah Najib menjelang PRU ke-14.  -Kedahnews.com