ALOR SETAR - Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
berkata, PAS wajib menerima perlawaan rundingan dari UMNO bagi
memastikan perlaksanaan hukuman Hudud dapat dilaksanakan di Kelantan.
Tambah beliau lagi, ahli parti Islam tersebut tidak wajar
mempertikaikan keikhlasan UMNO yang dilihat menyokong hasrat kerajaan
negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
Menerusi sebuah akhbar tempatan, Abdul Hadi berkata, “Umno ajak kita
berunding (dalam isu hudud), maka kita wajib berunding. Kalau ada pihak
mengatakan (UMNO) tipu, itu urusan Tuhan yang mengetahuinya.
“Bagi kita (PAS), kita anggap (sokongan UMNO dalam isu hudud) semuanya ikhlas. Jangan ditangguh urusan ikhlas ini.”
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan tingkah DAP yang
terus-menerus masuk campur dalam hal ehwal agama Islam dan mahu PAS
menangguhkan hasrat tersebut.
“DAP tak setuju laksanakan Hudud, minta ia ditangguh-tangguh. Kita
pilih pandangan ulama bahawa Hudud itu dilaksanakan ke atas orang Islam,
orang bukan Islam mereka ada hak ikut undang-undang lain.
“Tetapi dia (DAP) nak ganggu juga hal mengenai orang Islam. Kita nak
laksanakan hukum ini bukan seperti yang dilakukan IS (kumpulan militan
Negara Islam) dan Taliban, belum apa-apa bunuh.” - Kedahnews.com