JAKARTA – Malaysia mahu ahli perniagaannya merebut peluang perniagaan
di Indonesia secara agresif, selari dengan langkah kerajaan negara ini
melakukan transformasi ekonomi.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata reformasi
ekonomi negara itu melibatkan pembangunan fizikal seperti projek
pembinaan pelabuhan, empangan, jalan raya serta loji janakuasa elektrik
yang menyumbang ke arah aspirasi pertumbuhan ekonomi sebanyak lapan
peratus di republik ini menjelang 2019.
“Malaysia menyambut baik langkah-langkah reformasi ekonomi yang
dilakukan oleh kerajaan Indonesia di bawah kepimpinan Presiden Joko
Widodo, dan menyifatkannya sebagai suatu ruang yang harus dimanfaatkan
oleh Malaysia dan negara-negara anggota ASEAN.
“Saya percaya bahawa syarikat-syarikat Malaysia amat berminat untuk
menyumbang dan bekerjasama dengan syarikat-syarikat Indonesia dalam
menjayakan projek-projek pembangunan baharu Indonesia,” katanya pada
majlis Pertemuan Bersama Kamar Dagang dan Industri Indonesia (Kadin) di
sini malam tadi.
Katanya kerajaan Indonesia memerlukan pelaburan sebanyak kira-kira
US$420 bilion untuk projek pembangunan negara itu dari 2015 hingga 2019
dan daripada jumlah itu kira-kira 40 peratus memerlukan sumbangan
swasta.
Muhyiddin berkata integrasi ekonomi melalui Komuniti Asean juga
merupakan pemudah cara utama bagi pelaburan dan perdagangan di rantau
ini, dan ahli-ahli perniagaan Indonesia secara kompetitif mahu
memperluaskan perniagaan mereka di negara Asean termasuk Malaysia.
Katanya ahli perniagaan di rantau ini juga perlu mendapat maklumat
yang lebih jelas mengenai gagasan Komuniti ASEAN tahun ini, dan
seterusnya mengenal pasti peluang perniagaan yang wujud.
Beliau juga menggesa Majlis Perniagaan Malaysia-Indonesia dan Kadin
meningkatkan hubungan masing-masing dalam usaha membuka pasaran
perniagaan antara kedua-dua negara.
“Saya ingin menyarankan agar ketiga-tiga pihak dapat mengenal pasti
potensi perniagaan dan seterusnya membantu pihak yang berminat untuk
bekerjasama dalam merealisasikan hubungan perniagaan tersebut,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri itu berada di Jakarta sempena lawatan
kerjanya selama tiga hari sejak Selasa lepas dan telah mengadakan
pertemuan empat mata bersama Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla. –
BERNAMA