Ahmad Maslan Maklum ‘Top-Up’ Tetap Harga Lepas GST, Masa Bual & SMS Ditambah 6%

Petang semalam, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan memaklumkan pada sidang Parlimen, daripada 815 aduan berkaitan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang diterima pada hari pertama pelaksanaannya, 40 peratus merupakan aduan mengenai kad tambah nilai prabayar telefon yang turut dikenakan caj GST.

Pada masa sama, Ahmad Maslan telah menjelaskan bahawa pihak Kastam Diraja Malaysia telah memanggil syarikat telekomunikasi untuk memberi keterangan mengenai aduan ini dan sekiranya mereka berdegil tidak mahu mengikut arahan, maka syarikat-syarikat ini akan diseret ke mahkamah.

Susulan itu, beliau telah memaklumkan perkembangan terbaharu isu ‘top-up’ ini menerusi laman mikro Twitter.

Menurut Ahmad Maslan, syarikat telekomunikasi seperti Digi, Celcom, UMobile dan juga Maxis akan tetap mengguna pakai harga pasaran baru seperti selepas dikenakan caj GST sebanyak 6%, contohnya RM10.60 untuk kad prayar nilai RM10 dan seterusnya.

Bagaimanapun, syarikat-syarikat telekomunikasi terbabit dikatakan telah bersetuju untuk menambah masa panggilan dan juga SMS sebanyak 6% berbanding kebiasaan.

Maklumat lanjut mengenai perkara ini ujar beliau, akan diberitahu dalam masa terdekat. -Kedahnews.com