GEORGETOWN – Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata
beliau tidak memerlukan pentas pembangkang untuk memberi penerangan
tentang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Ahmad berkata tidak perlu bagi beliau menerima jemputan sebagai ahli
panel forum GST daripada Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang
kerana pembangkang terang-terang menafikan kebaikan sistem itu.
AMK Pulau Pinang dilapor menyerahkan surat jemputan sebagai ahli
panel forum GST 2 Mei ini kepada Ahmad semasa lawatan beliau ke tapak
ekspo Seberang Jaya, 23 April lepas.
“Saya tidak mahu berdebat di pentas mereka bukan kerana saya takut…
di Dewan Rakyat sudah berkali-kali saya jawab. Saya ada banyak pentas
dan medium lain untuk jelaskan (GST).
“Mereka (pembangkang) perkara yang betul pun mereka akan putar,”
katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan
Persatuan Kontraktor Melayu Pulau Pinang kali ke-39, di sini hari ini.
Beliau berkata persepsi negatif mengenai GST dalam kalangan
masyarakat disebabkan kurang pemahaman tentang konsep percukaian baharu
itu dan sikap tamak segelintir peniaga yang memanipulasi GST untuk
mengaut untung.
“Peniaga tidak beretika membentuk persepsi umum yang silap…sedangkan
mereka (peniaga) boleh tuntut semula cukai input yang dibayar,” katanya.
– BERNAMA