Ahmad Yahya Kini Yang DiPertua PAS Alor Setar

ALOR SETAR - Ahli Jawatankuasa Pas Kedah, Ahmad Yahya dipilih sebagai Yang Dipertua Pas kawasan Alor Setar menggantikan Datuk Dr Ismail Salleh yang tidak mempertahankan jawatan itu bagi memberi laluan kepada pimpinan baharu.

Ismail yang juga Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kedah membuat keputusan untuk menarik diri dari dicalonkan semula ke jawatan yang disandangnya sejak 10 tahun lalu. Walaupun masih ada pencalonan namun beliau nekad berbuat demikian.

“Itu (menarik diri) adalah perkara biasa dalam sesebuah organisasi. Bagi peluang pula kepada orang lain untuk menerajui kepimpinan parti,” katanya selepas  Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Alor Setar kali ke 36, di Kompleks Hijau Kuning, di sini, semalam.

Ahmad ialah Timbalan Yang Dipertua Pas Alor Setar sebelum ini. Beliau juga adalah Adun Alor Mengkudu.

Manakala jawatan Timbalan Yang Dipertua diisi oleh Zulkifli Yahaya yang juga Setiausaha Pas sebelum ini. Jawatan Naib Yang Dipertua pula Zamri Ibrahim. Dalam pada itu jawatan Ketua Urusan Ulama masih disandang Shahidan Baharom.

Mesyuarat dirasmikan Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kedah, Dr Fakhruddin Fakrurazi. -Sinar Harian