AMARAN KPN: Jangan Besarkan Isu Perkauman, Agama

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar
KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam memberi amaran kepada mana-mana pihak agar tidak memperbesarkan isu sensitiviti agama dan kaum.
  
"Saya menyeru semua pihak termasuk media agar tidak menghangatkan lagi isu ini ... ia berkait dengan agama dan kaum, dan amat sensitif.   

"Kalau kita semua sengaja mempermainkan isu ini, tidak mendatangkan kebaikan kepada mana-mana pihak," katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), di sini.   

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian berhubung lambang salib di sebuah gereja di Taman Medan, Petaling Jaya baru-baru ini.   

Khalid memberi jaminan segala laporan berhubung isu itu akan disiasat tanpa bersifat berat sebelah dalam menguatkuasakan undang-undang.   

"Saya tidak risau kalau abang (terbabit dalam bantahan itu) saya juga akan diambil tindakan atas apa juga kesalahan (jika ada) ... saya amat profesional dalam hal ini  ... tidak mencampuri urusan siasatan yang dijalankan oleh pihak polis Selangor.

"Jadi, jangan cuba mainkan sentimen ini, takut ada pihak yang akan mengambil tindakan yang di luar jangkaan ... isu ini sudah beransur reda, cukuplah," katanya.  

Baru-baru ini, simbol salib di sebuah gereja di Taman Medan telah diturunkan atas permintaan masyarakat dan dipersetujui oleh pastor (gereja) itu.   

Kehadiran abang Khalid yang merupakan ketua masyarakat di kawasan itu dikatakan bagi menenangkan orang ramai daripada menjadi agresif dalam perhimpunan membantah simbol salib di gereja berkenaan.   

Dalam perkembangan lain, Khalid meminta kepada penganjur perhimpunan Bantah GST pada 1 Mei ini, agar berhubung dengan Ketua Polis Daerah Dang Wangi  bagi mendapatkan kebenaran lokasi yang dipersetujui.   

"Mereka (penganjur perhimpunan) perlu memberikan kerjasama pada pihak polis ... seperti perhimpunan yang berlaku di Padang Merbuk lepas, ia merupakan contoh  amat baik dan boleh diikuti semua.   

"Saya harap lokasi perhimpunan haruslah dipersetujui oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dan setelah mendapat kebenaran DBKL, polis memberi kerjasama sepenuhnya dalam memastikan perhimpunan ini berjalan lancar dan selamat," katanya.   

Khalid berkata, jika keadaan sebaliknya berlaku, penganjur mesti bersedia menghadapi tindakan undang-undang.   

Pada majlis itu, Ketua Polis Johor, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff, hari ini secara rasmi dilantik sebagai Pengarah JSJN Bukit Aman yang baharu.   

Beliau mengambil alih jawatan itu daripada Datuk Haris Wong Abdullah yang memangku jawatan berkenaan sejak lima bulan lalu.   

Sebelum ini, jawatan JSJN disandang Datuk Seri Nor Rashid Ibrahim, yang kemudian dinaikkan pangkat kepada Timbalan Ketua Polis Negara. - Bernama