Ameyliya Buka Pusat Mandi Wap Di Pendang Dengan 1,001 Khasiat

Ameyliya jalankan perniagaan mandi wap kecil-kecilan di malam hari sementara siangnya menjaga ayah sakit lumpuh.
PENDANG - Kerana ingin menjaga dan bersama ayahnya yang lumpuh sebelah badan, seorang remaja tekad tidak meneruskan pengajian selepas tamat persekolahan di tingkatan lima.

Ameyliya Mustafa, 20, mengambil keputusan itu kerana kasih terhadap ayahnya yang sakit sejak dua tahun lalu.

Bagi mengisi masa lapang, anak bongsu daripada 13 beradik mengambil kesempatan menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di hadapan rumahnya di Kampung Baru, Pendang, dekat sini.

Buat permulaan, dia membuka pusat mandi wap untuk semua peringkat umur dan lapisan masyarakat pada sebelah malam bermula jam 7 hingga 11 malam.

Walaupun tidak mempunyai pengalaman dalam bidang perniagaan, Ameyliya tetap tabah menempuhi pelbagai rintangan dan cabaran sebagai seorang usahawan muda.

Dia mengambil keputusan berniaga pada waktu malam kerana akan mengurus dan menjaga ayahnya, Mustafa Mahmud, 66, pada waktu siang.

"Selepas tamat persekolahan, ayah diserang sakit lumpuh sebelah kanan. Tempurung kepala sebelah kiri juga terpaksa dibuang atas nasihat doktor.

"Saya tak mahu tinggalkan ayah keseorangan. Saya nak jaga ayah. Biarlah saya berniaga kecil-kecilan di sini kerana sekurang-kurangnya pendapatan itu dapat menampung keperluan ubat-ubatan ayah," katanya.


10 pelanggan setiap minggu

Walaupun masih baru berjinak-jinak dengan bidang perniagaan, Ameyliya sudah mampu mendapat sekurangnya 10 pelanggan setiap minggu dengan jumlah pendapatan purata lebih RM400 sebulan.

Menurutnya, idea membuka pusat mandi wap itu dibuat berdasarkan pengalaman mereka sekeluarga mandi wap di Pulau Pinang, suatu ketika dahulu.

“Dulu saya pernah mandi wap di beberapa kedai di Pulau Pinang. Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian itu, saya terfikir nak buka pusat mandi wap sendiri,” katanya.

Ameyliya berkata, perniagaannya itu turut dibantu ibunya, Hasnah Desa, 64, dan kakaknya, Siti Zamelah Mustafa, 38.

Tambahnya, dia memilih membuka pusat mandi wap kerana ia mempunyai pelbagai khasiat untuk golongan muda dan dewasa.

“Banyak kebaikan mandi wap ini antaranya mengatasi masalah jerawat dan resdung serta buang lemak dalam badan bagi orang muda.

“Manakala untuk orang dewasa pula ia mampu merawat dan mengurangkan sakit urat, badan dan kulit gatal,” katanya.

Tampil keunikan tersendiri

Ameyliya berkata, perniagaan mandi wap yang diusahakannya menampilkan keunikan tersendiri apabila disertakan dengan garam bukit yang mempunyai 1,001 khasiat selain menambah tenaga badan.

Katanya, orang ramai juga boleh merasai suasana mandi wap itu seolah-olah berada di dalam gerabak kereta api.

“Kaedah pengewapan yang saya gunakan ialah secara tradisional. Selalunya pelanggan akan telefon dan tetapkan masa terlebih dahulu sebelum datang.

“Sebab pengewapan itu mengambil masa 20 minit untuk panas dan mengeluarkan wap secukupnya,” katanya.

Ameyliya turut menawarkan harga percuma kepada seorang pengunjung sekiranya datang secara berkumpulan atau lima orang sekali.

“Harga yang ditawarkan amat berpatutan dan murah,” katanya.

Sumber: Sinar Harian