Anak Kedah Yang Terlibat Nahas Helikopter: Mendiang Datuk Tan Seorang "Low Profile"

Mendiang Datuk Tan Huat Seang (paling kanan) dalam Majlis Menandatangani dan Pertukaran Dokumen antara PR1MA, PKNK dan SP Baiduri Sdn. Bhd. di Kuala Lumpur yang disaksikan oleh Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis yang turut sama terkorban dalam nahas helikopter baru-baru ini. Turut saksikan majlis ialah Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir.
ALOR SETAR - Mendiang Datuk Tan Huat Seang, seorang  daripada lima mangsa nahas helikopter terhempas semalam, menerajui sebuah syarikat perumahan swasta di Kedah, SP Baiduri Sdn Bhd.
Memiliki pejabat di Bandar Amanjaya, Sungai Petani, SP Baiduri melaksanakan pelbagai projek perumahan di Kedah termasuk Program Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA) di Sungai Petani.
    
Syarikat SP Baiduri difahamkan sedang membina lebih 1,000 unit pelbagai rumah di bawah projek PR1MA di Sungai Petani bermula tahun lepas.
    
Menurut seorang kenalan keluarga Huat Seang yang ditemui di kediamannya di Taman Golf di sini malam tadi, mendiang merupakan ahli perniagaan yang tidak gemarkan publisiti dan dikenali sebagai seorang yang kuat bekerja.
    
"Mendiang amat 'low-profile' dan tidak gemarkan publisiti. Beliau seorang yang kuat bekerja," katanya yang enggan memberitahu namanya.
    
Walaupun begitu kata kenalan itu, mendiang mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta berkuasa tinggi dan memiliki pelbagai koleksi kereta berjenama.
    
Tinjauan di rumah Huat Seang mendapati terdapat pelbagai kereta termasuk Lamborghini, Ferrari, Audi, Mercedes dan BMW.
    
Sementara itu, seorang jiran mendiang yang juga enggan dikenali berkata, walaupun sentiasa sibuk tetapi sebagai seorang jiran, mendiang amat peramah dengan penduduk di kawasan perumahan elit itu.
    
"Kali terakhir saya terserempak dengan beliau ialah dalam bulan lepas, kami berbual seperti biasa tentang pelbagai topik terutamanya tentang keadaan di kawasan perumahan kami," katanya yang tinggal di kawasan perumahan itu lebih 30 tahun.
     
Nahas helikopter AS365N2 Dauphin di Kampung Sungai Pening pada 4.55 petang semalam, mengorbankan kesemua enam orang di dalamnya iaitu Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia yang juga bekas menteri, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, Ketua setiausaha sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias, juruterbang Kpt Clifford William Fournier, pembantu operasi Aidana Baizieva, Pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan B Seran dan mendiang Huat Seang . - Bernama