Anak Melayu Singapura Komander Misi Latihan 3 Negara

SINGAPURA – Juruterbang pesawat pejuang Tentera Udara Republik Singapura (RSAF), Kapten Muhammad Iskandar Dzulfadhli Abdul Rahman, diberi kepercayaan menjadi Komander Misi dalam salah satu daripada misi latihan Exercise Cope Tiger (XCT).

XCT merupakan latihan tentera yang dijalankan secara bersama oleh tiga negara iaitu Singapura, Amerika Syarikat (AS) dan Thailand dengan siri latihan terkini telah berlangsung di Thailand selama 10 hari pada bulan lalu, melibatkan ketiga-tiga negara tersebut.

Ini didedahkan pihak RSAF dalam satu kenyataan menerusi laman sosial Facebook rasmi RSAF, sekali gus mengesahkan Muhammad Iskandar menjadi anak Melayu pertama dari Singapura menjadi panglima misi untuk latihan berprestij tiga negara berkenaan.


Kenyataan tersebut menukil pengalaman Kapten Iskandar yang merupakan seorang juruterbang pesawat F-5S/T, apabila beliau berkongsi cerita tanggungjawab menjadi seorang Komander Misi yang merupakan satu tugas amat berat dan mencabar.

Antara lain, beliau perlu menyelaras serta mengendalikan pergerakan lebih daripada 50 aset dalam XCT yang meliputi puluhan pesawat pejuang, pesawat amaran awal dan pesawat pengisi minyak tercanggih dari tiga negara berkenaan.

Menceritakan pengalamannya itu, Kapten Iskandar, 26 tahun berkata, beliau harus bijak ‘merancang dan memanfaatkan kekuatan setiap aset semasa sesuatu misi’ serta bersyukur diberi peluang sebagai komander dalam latihan tersebut.


Malah tugasan berkenaan berjaya membantu beliau untuk meningkatkan diri secara profesional sebagai seorang juruterbang pesawat penggempur RSAF yang merupakan antara angkatan udara terbaik di rantau Asia Pasifik.

Kapten Iskandar kini bertugas di unit elit Skuadron ke-144 ‘Blackite‘ di Pangkalan Udara RSAF Paya Lebar dan beliau yang merupakan bekas pelajar Maktab Rendah Tampines mula menyertai perkhidmatan RSAF sejak tahun 2008.

Skuadron dengan slogan ‘Dare To Excel‘ yang ditubuhkan pada 1979 serta kekuatan 22 buah jet supersonik F-5S/T Tiger II-S itu merupakan antara pasukan pejuang udara terbaik Singapura di peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, Pemerintah Armada Pasifik AS menyatakan, XCT menggabungkan pasukan tentera udara ketiga-tiga negara agar tiga negara itu boleh menjadi saling beroperasi sama ada ketika aman mahu pun waktu perang.

Kolonel Paul Johnson, pengarah latihan dari Tentera Udara AS menyatakan aspek bantuan kemanusiaan ketika berlaku bencana alam merupakan antara bahagian penting dalam latihan secara berkala pada kali ini.

“Jika kami perlu bantu salah satu rakan kami di Asia Tenggara dengan bantuan Thailand dan Singapura, kami boleh melakukannya dengan lebih baik kerana kami tahu kekuatan dan kelemahan kami menerusi XCT,” tambah Johnson. – Agensi