Anak Muda Ini Bakal Ranapkan Legasi "Air Liur" Anwar Di Permatang Pauh


Sebagaimana yang dijangkakan, Barisan Nasional (BN) telah mengumumkan calon "fresh" dari "orang muda" yang bakal membawa panji-panji wadah perjuangan rakyat di Pilihanraya Kecil (PRK) Permatang Pauh kali ini.

Calon berkenaan, Suhaimi Sabudin, mungkin seorang anak muda yang tidak "famous" seperti Datuk Seri Mukhriz Mahathir atau Khairy Jamaluddin, namun budi pekerti, sikap ringan tulang dan keterlibatannya dalam aktiviti membantu masyarakat setempat cukup dikenali.

Berusia 44 tahun pada 25 Oktober ini, beliau layak dianggap sebagai calon "bersih" untuk mewakili BN berentap menggempur kubu kuat tradisi PKR di P044 Parlimen Permatang Pauh kali ini.

Menurut tinjauan kami, rakyat dan para pengundi di Permatang Pauh sudah muak dan bosan dengan wakil rakyat yang hanya gah "famous" dengan "air liur" terkenal di seluruh dunia, tapi bayangnya "haram tak nampak".

Malah kata mereka yang ditemui, rata-ratanya hanya dapat melihat kelibat bekas ahli parlimen mereka ketika musim mengundi dan itu pun hanyalah di kawasan tertentu sahaja, khususnya di kawasan masyarakat Tiong Hua, cuba "membeli" jiwa.

Namun selepas pilihanraya berakhir, kata mereka, wakil rakyat yang menang itu hanya meninggalkan wakilnya untuk menjaga kawasan berkenaan sedangkan beliau "hilang" entah ke mana.

Berlainan pula dengan Suhaimi yang merupakan anak jati Permatang Pauh, beliau dijangka tidak akan "ghaib" dari radar rakyat di parlimen berkenaan ekoran kerjayanya sebagai ahli perniagaan yang sering berada di Pulau Pinang.

Berkelulusan ijazah Sarjana Muda Sains dari salah sebuah universiti elit negara, Universiti Sains Malaysia (USM), Suhaimi merupakan pilihan paling tepat ekoran sifatnya yang "low profile" tapi ligat memberi bekerja untuk rakyat setempat.

Bagi warga UMNO Permatang Pauh pula, pencalonan Setiausaha Bahagian mereka itu turut dilihat sebagai satu pengiktirafan pada kerja keras Suhaimi dalam memperkukuh kekuatan UMNO di kawasan pembangkang itu.

Suhaimi dikatakan berkerja keras selama ini menguruskan aktiviti dan berkhidmat untuk UMNO Bahagian tersebut dengan kepercayaan penuh serta restu dari Ketua Bahagian Permatang Pauh, Mohd Zaidi Mohd Said sejak 2013 lagi.

Rakyat Permatang Pauh boleh dianggap bertuah kerana BN mencalonkan seorang anak muda yang bertenaga untuk menabur bakti beliau kepada masyarakat di parlimen itu yang sekian lama terbiar "bersawang lelabah".

Apapun, rakyat di Permatang Pauh lebih arif untuk memilih permata sebenar setelah berkali-kali tertipu dengan "air liur" selama ini. Kita serahkan kepada Allah SWT dan para pengundi pada 7 Mei ini untuk menentukannya. -Amir Hamzah/Utaranews.com