Anak Muda Permatang Pauh Tidak Mahu Wan Azizah?

PERMATANG PAUH - Jika diberi pilihan, anak muda ini lebih memilih seorang calon yang lebih muda untuk menjadi wakil rakyat di Parlimen Permatang Pauh berbanding calon yang layak dikategorikan sebagai warga emas.

Hanif Sazali, 20, ketika ditemui Kedahnews.com di Seberang Jaya berkata, calon lebih muda memberikan lebih keyakinan dan semangat untuk memberi khidmat yang lebih baik kepada masyarakat di parlimen itu.

"Dari segi pencalonan tu saya rasa orang mudalah (lebih baik)... orang muda lebih semangat," kata Hanif.

Anak muda yang membantu bapanya berniaga kecil-kecilan di gerai itu yakin calon yang lebih muda boleh diharap untuk membawa pembangunan dan kemajuan di Permatang Pauh.

Justeru itu Hanif berharap agar calon Barisan Nasional (BN), Suhaimi Sabudin sekiranya menang pada PRK Permatang Pauh kali ini akan komited menabur khidmatnya kepada masyarakat di sini sejajar dengan kemajuan di bandar-bandar maju lain.

"Kalau boleh tu bangunkan kawasan ni.. buat lagi lebih maju.. kan kawasan ni kampung, kalau boleh majukan lagilah," katanya meluahkan harapan padanya.

Rata-rata masyarakat Islam di sekitar Permatang Pauh yang kamu temui di sini melihat Suhaimi sebagai  seorang calon "underdog" yang diharap bakal menamatkan penguasaan bekas ahli parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarganya.

Menurut mereka, berpuluh tahun Anwar dan isterinya, Datuk Seri Wan Azizah menguasai parlimen itu namun mereka berdua amat jarang berada di kawasan untuk mengambi berat permasalahan rakyat setempat dan hanya boleh dilihat kelibat ketika musim pilihanraya sahaja.

Selain dikatakan tidak mendapat sokongan dari akar umbi PAS di Permatang Pauh kali ini, Wan Azizah cuba mempertahan kerusi suaminya untuk kali kedua di parlimen itu dan beliau dicabar sengit Suhaimi yang diyakini mampu menamatkan legasi Anwar di sini. -Kedahnews.com