#ANEH: 150 Ikan Lumba-Lumba Terdampar Di Pantai Tokyo Cetus Bimbang Tsunami

Fenomena yang sama pernah berlaku menyebabkan tsunami berlaku selepas 6 hari pada 2011
TOKYO – Kemunculan lebih 150 ekor ikan lumba-lumba Melon-head di pantai negara ini kelmarin mencetuskan kebimbangan berlakunya kembali tragedi gempa bumi bawah laut yang mengorbankan 19,000 orang pada tahun 2011.

Walaupun tiada kajian saintifik untuk mengaitkan kedua-dua peristiwa tersebut, beberapa pendapat di internet mengaitkan kejadian 50 ekor ikan lumba-lumba Melon-head terdampar di pantai Jepun enam hari sebelum berlakunya tsunami pada tahun berkenaan.

“Apakah satu lagi akan datang? Bersiap sedialah untuk hadapi gempa bumi,” kata seorang pengguna Twitter yang menggunakan nama maoeos40d.

Bangkai ikan lumba-lumba berkenaan yang dibedah oleh para saintis kelmarin tidak menemui sebarang tanda yang menyebabkan haiwan itu terdampar di pantai berdekatan Hokota, kira-kira 100 kilometer di timur laut Tokyo.

“Kami tidak menemui sebarang tanda jangkitan dalam tubuh ikan lumba-lumba itu seperti kanser. Kajian lanjut masih dilakukan bagi mencari punca kematian haiwan tersebut,” ujar pengkaji kanan Muzium Sains dan Alam Sekitar Kebangsaan, Tadasu Yamada yang dilaporkan oleh agensi berita tempatan, NHK.

Pihak kerajaan cuba menenangkan orang awam dengan menyatakan tiada data saintifik yang mengukuhkan andaian persamaan kedua tragedi tersebut.

Bagaimanapun, rekod menunjukkan sebelum kejadian gempa bumi melanda bandar Christchurch pada 20 Februari 2011, terdapat lebih 100 ekor ikan lumba-lumba mati terdampar di satu kawasan terpencil di New Zealand dua hari sebelum bencana itu berlaku. – AFP