Angelina Jolie Kecam PBB Gagal Halang Perang Di Syria

Selebriti jelita Hollywood, Angelina Jolie bertindak mengkritik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)kerana kegagalan badan pengaman itu untuk meredakan perang yang berlaku di bumi Syria.

Melalui ucapannya pada Jumaat lalu di satu sidang mesyuarat di New York, Jolie turut menggesa bantuan dihantar ke negara tersebut bagi membantu kesemua pelarian.

“Peranan PBB adalah melindungi dan menamatkan konflik yang berlaku, menyatukan semua negara, mencari jalan penyelesaian diplomatik dan menyelamatkan nyawa. Kita gagal untuk melakukan ini di Syria.

“Masalahnya, kita bukan kekurangan maklumat. Kita tahu secara terperinci segala penderitaan dan apa yang berlaku di Aleppo, Homs. Masalahnya kekurangan kesungguhan politik.”

Tambah bintang Maleficient itu lagi, andai mereka tidak mampu untuk menamatkan sengketa di sana, cukuplah sekadar membantu mangsa yang menderita.

“Ketika ini keadaan di Syria menunjukkan penceroboh sewenang-wenangnya melanggar undang-undang, senjata kimia boleh digunakan, hospital boleh dibom, bantuan boleh ditahan dan orang awam kebuluran.

“Ia sangat menjijikkan untuk melihat beribu orang lemas di depan pintu benua terkaya di dunia. Jika kita tidak boleh menamatkan konflik itu, kita mempunyai kewajipan moral iaitu dengan membantu pelarian dan menyediakan peluang yang ada untuk keselamatan.

“Krisis di Syria menunjukkan bahawa ketidakmampuan petubuhan untuk mencari penyelesaian diplomatik menyebabkan berjuta penduduk hilang tempat tinggal, menderita dan hidup sebagai pelarian.”

Semua tahu, Jolie merupakan individu yang aktif dalam membantu mangsa-mangsa pelarian terutamanya di negara miskin dan bergolak.

Beliau telah berkhidmat dengan PBB selama 13 tahun. -Kedahnews.com