Annuar Musa Ikrar Sokong Hudud Di Parlimen

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Ketereh, Tan Sri Annuar Musa memberi jaminan bahawa beliau akan memberi sokongan kepada PAS dalam pembentangan Rang Undang-Undang Persendirian berkaitan hudud.

Tegas Annuar, beliau memberi sokongan itu kerana Allah SWT, tanpa mempedulikan pandangan pihak lain terutama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang awal-awal lagi sebelum ini berpendirian menolak hudud.

“Saya tetap akan sokong. Sokong kerana Allah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PAS semalam mengaku telah memohon supaya Rang Undang-Undang Persendirian berkaitan hudud didahulukan dalam Aturan Urusan Mesyuarat persidangan Dewan Rakyat penggal ini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dipetik berkata, perkara berkenaan telah diusulkan kepada Speaker Dewan, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, dan kini sedang menunggu keputusan dari pihak beliau.

Abdul Hadi turut menegaskan bahawa perkara itu merupakan hak kerajaan negeri Kelantan tanpa perlu mengambil kira pandangan sekutunya dalam Pakatan Rakyat. -Kedahnews.com