SEPANG – Tiga kenderaan persendirian tidak berlesen untuk mengambil
penumpang di sekitar Lembah Klang melalui aplikasi ‘EasyTaxi’ disita
dalam operasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada Selasa
malam.
Pengurus Besar Bahagian Penguatkuasaan SPAD Datuk Che Hasni Che Ahmad
berkata penggunaan aplikasi itu dikesan mula beroperasi sejak awal
bulan ini serta bergiat aktif di sekitar Lembah Klang, dengan
dianggarkan 12 kenderaan atau teksi sapu terlibat menjalankan perniagaan
terbabit.
“Walaupun hanya tiga kenderaan yang berjaya disita, kami percaya
operasi yang pertama kali diadakan ini akan memberi amaran keras kepada
mereka yang terbabit dan kami akan meneruskan operasi ini sehingga
mendapat dalang yang bertanggungjawab mewujudkan aplikasi berkenaan,”
katanya.
Che Hasni juga berharap penumpang tidak menggunakan aplikasi tersebut
kerana selain beroperasi secara haram, perkhidmatan itu juga tidak
mempunyai perlindungan insurans jika berlaku kemalangan.
“Malah, penggunaan aplikasi EasyTaxi juga tidak adil dan menjejaskan
periuk nasi pengusaha dan pemandu teksi yang berlesen,” katanya kepada
media selepas menjalankan operasi tersebut di sini.
Che Hasni berkata bagi kenderaan yang ditahan kerana menjalankan
perniagaan terbabit akan disita dan mereka yang terbabit akan dikenakan
hukuman tidak melebihi RM10,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya
sekali.
Dalam operasi sama, katanya SPAD juga menyita sembilan teksi yang tidak menggunakan meter.
“Jika disabitkan kesalahan, pemandu teksi yang tidak menggunakan
meter boleh dikenakan hukuman tidak melebihi RM500,000 atau penjara
tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – BERNAMA