Awas! Kes Kencing Tikus Di Baling Meningkat

Exco Kesihatan Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Dr Leong Yong Kong
ALOR SETAR - Daerah Baling mencatatkan peningkatan kes jangkitan kencing tikus (Leptospirosis) untuk tempoh 2011 hingga 2014.

Exco Kesihatan, Datuk Dr Leong Yong Kong berkata, antara penyumbangnya ialah bakteria haiwan liar seperti tikus, monyet, tupai dan anjing.

Beliau berkata, statistik pada 2011 menunjukkan 25 kes berlaku dengan dua kematian. Pada tahun 2012, 36 kes dicatatkan dengan satu kematian.

“Bagaimanapun, untuk 2013 dan 2014, tiada kes kematian dilaporkan berlaku. Tetapi jumlah yang dicatatkan masing-masing 41 dan 115 kes,” katanya ketika menjawab soalan lisan Harun Abdul Aziz (BN-Kupang) mengenai kejadian kencing tikus di daerah Baling pada sidang Dun semalam.

Menurutnya, antara langkah pencegahan yang diambil ialah mengadakan kempen kesedaran, taklimat, pameran dan ceramah.

 “Kita menasihati orang ramai misalnya yang mempunyai penyakit diabetes serta daya tahan kurang supaya mengelak mengunjungi tempat rekreasi serta mandi di kolam terbuka.

 “Mereka berisiko dijangkiti penyakit kencing tikus. Jika terluka, mereka perlu segera mendapatkan rawatan,” katanya.

Sementara itu, Harun dalam soalan tambahan bertanya mengenai usaha mencari penawar penyakit tersebut.

 “Penyakit ini secara umumnya berlaku disebabkan oleh jangkitan bakteria. Sekiranya mereka dikesan dijangkiti, maka ubatnya ialah antibiotik.

 “Kita memang ada vaksin yang bersesuaian tetapi penggunaannya tidak banyak. Ia hanya tertumpu di kawasan tertentu,” katanya. -Sinar Harian