DIALOG “berhenti menyanyi, nanti hujan”, begitu juga seperti “awak dah solat?” dan dijawab “sudah semalam” sering kali menjadi kata-kata lazim yang terkeluar dalam perbualan harian kebanyakan daripada kita sama ada spontan mahupun secara sengaja.
Dianggap sebagai gurauan, pelbagai ungkapan ini yang dirasakan sebagai jenaka mengundang suasana ceria dan menghiburkan sesama sendiri itu dilakukan bukan sahaja dalam kalangan kanak-kanak, malah dewasa dan telah berumur.
Sehinggakan, tanpa rasa bersalah mengungkapkan kata-kata seumpama yang dilihat seperti mempersendakan hukum dan syariat Allah SWT dan Rasul secara terang-terangan termasuk menerusi penulisan dan klip video di laman sosial dan juga media massa.
Hakikatnya, sedar atau tidak, perbuatan yang dianggap gurauan sama ada dengan niat atau tanpa niat tersebut mampu menjejaskan akidah seseorang umat Islam, malah cenderung menjadi kafir.
Menjelaskan perkara itu, Pengarah Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (Infad), Dr. Irwan Mohd. Subri berkata, ia bersandarkan kepada firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan jika kamu tanyakan kepada mereka, nescaya mereka akan menjawab, “Sesungguhnya kami hanya bersenda gurau dan bermain-main sahaja.” Katakanlah, “Mengapa pada Allah SWT dan rasul-Nya kamu selalu memperolok-olok? Tidak perlu kamu meminta maaf, kerana kamu telah kafir setelah beriman. (al-Taubah: 65-66)
Gurauan tambahnya, perlu dinilai daripada aspek sensitiviti dan batasannya sebelum diperkatakan walaupun tanpa niat berbuat demikian atau bagi memenuhi permintaan orang lain.
“Islam telah menetapkan garis panduan serta batasan dalam bergurau, lebih-lebih lagi apabila membabitkan hal agama. Gurauan berbentuk memperlekeh atau mempermainkan sesuatu hukum yang telah disyariatkan dalam Islam disifatkan kafir oleh Allah SWT dalam al-Quran.
“Perbuatan itu seakan-akan mempertikaikan ketetapan yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada hambanya.
“Begitu juga mempertikaikan sunah Rasulullah yang dianggap memperkecilkan kesempurnaan Nabi Muhammad SAW sebagai utusan Allah SWT.
“Hikmah daripada larangan ini adalah bagi menjaga kesempurnaan Islam daripada dipermainkan dan dipandang rendah oleh pihak lain terutamanya musuh Islam, “ katanya ketika ditemui di Pejabat Infad, Nilai, baru-baru ini.
Beliau yang juga pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata, Islam sama sekali tidak menghalang penganutnya bergurau senda selagi tidak melampaui batas dan tidak bertentangan dengan perintah syariat.
“Gurauan tidak salah, malah turut dilakukan oleh Rasulullah SAW dan juga merupakan sifat segelintir sahabat Rasulullah SAW yang suka bergurau pada hayat baginda tetapi tidak ditegur oleh Nabi Muhammad SAW.
“Asalkan gurauan itu adalah dengan tidak dusta, memperlekehkan dan menghina orang lain, menakut-nakutkan, mengumpat, mengikut kesesuaian dan keterlaluan dalam gurauan juga dikategorikan kepada melanggar adab bergurau.
“Walaupun dalam keadaan reda sekalipun, gurau yang berbentuk menjatuhkan maruah atau menyakiti orang lain ditegah di dalam Islam, malah perlu bertanggungjawab sekiranya menyebabkan perkara buruk berlaku,” jelasnya.
Membatalkan akidah
Bukan sahaja menerusi perkataan, Irwan berkata, terdapat tiga perkara yang menjadi penyebab membatalkan akidah seseorang Muslim iaitu melalui perbuatan dan juga niat di dalam hati.
Perkara itu disimpulkan menerusi penulisan ulama terkemuka, Said Hawwa dalam kitabnya berjudul, Jundullah Tsaqafatan Wa Akhlaqan.
“Selain menerusi perbualan seharian, bergurau melalui perbuatan dan juga terlintas niat di hati juga boleh penyebab membatalkan akidah. Menurut Said Hawwa ia apabila berlaku dalam keadaan sedar atau waras serta dia tahu akibat daripada perbuatan yang dilakukan tersebut.
“Sebagai contoh melalui perbuatan seperti bergurau kononnya ingin memijak al-Quran atau beriktikad hukum Islam adalah jumud dan tidak bersesuaian dengan amalan zaman sekarang, dikhuatiri boleh menggugurkan iman.
“Oleh itu, umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan bertaubat dengan beristighfar pada setiap waktu bagi menyesali dosa yang dilakukan lebih-lebih lagi kesalahan yang tidak kita sedari,” katanya. -Utusan