AWAS ORANG KEDAH: Kedah Catat Peningkatan Kes Denggi Jan-April Tahun Ini


ALOR SETAR – Kedah mencatat peningkatan 40.1 peratus kes demam denggi atau 290 kes bagi tempoh 1 Jan hingga 18 April lepas berbanding 207 kes yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lepas.

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Norhizan Ismail berkata setakat ini satu kes kematian akibat komplikasi denggi direkodkan di daerah Kuala Muda.

Katanya daerah Yan mencatatkan 15 kes, Bandar Baharu enam kes, Sik juga enam kes, Kota Setar (60 kes), Kulim (68), Padang Terap (10), Baling (23) dan Kubang Pasu (23 kes). 

Jabatan Kesihatan Negeri, katanya, melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan dengan melakukan pemeriksaan pembiakan aedes di 116,314 premis.

Norhizan berkata pihaknya mendapati 1,912 premis mempunyai pembiakan jentik-jentik dan mengeluarkan 802 kompaun berjumlah RM371,100.

Pihaknya kata beliau, juga melakukan semburan untuk membunuh nyamuk aedes di 158,099 premis dan 73,489 premis pula diletakkan ubat pembunuh jentik-jentik. – BERNAMA