Bantu Rohani Bendung Gangguan Seksual Kanak-Kanak

PUTRAJAYA – Keprihatinan dan sikap lebih berwaspada oleh ibu bapa dan keluarga haruslah dititikberatkan dalam menangani kejadian gangguan seksual terhadap kanak-kanak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim dalam kenyataan hari ini menyarankan agar ibu bapa, penjaga dan masyarakat supaya lebih memberi keutamaan kepada penjagaan kanak-kanak agar perkara yang tidak diingini dapat dielakkan.

Beliau berkata demikian berhubung kes warga emas ditahan atas kesalahan gangguan seksual terhadap 11 kanak-kanak baru-baru ini.

“Saya terkilan dengan keadaan yang berlaku sekarang apabila orang dewasa yang sepatutnya menjadi pelindung kepada kanak-kanak tidak berbuat demikian malahan menjadi perosak kepada kanak-kanak tersebut,” katanya.

Beliau berkata melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pegawai Pelindung di daerah akan menyediakan perkhidmatan sokongan kepada kanak-kanak tersebut serta ahli keluarga yang lain seperti perkhidmatan kaunseling untuk mengatasi trauma akibat kejadian yang menimpa dan lain-lain perkhidmatan sekiranya bersesuaian. – BERNAMA