Bapa Gadis Didakwa Di Mahkamah Cederakan Pemandu Teksi

SHAH ALAM - Bapa kepada tiga beradik yang bergaduh dengan seorang pemandu teksi di kawasan stesen minyak di sini akhir bulan lepas, hari ini dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan mencederakan pemandu teksi itu.
 
Syed Fareid Yahya, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.
 
Lelaki itu, yang bertugas sebagai Ketua Jabatan Sumber Manusia di sebuah syarikat berkaitan kerajaan, didakwa mencederakan Azmi Mat Mokhtar, 54, di hadapan Pejabat Pertanyaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Persiaran Kayangan, Seksyen 9 di sini kira-kira 4.30 petang pada 29 Mac lepas.
 
Syed Fareid didakwa mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
 
Timbalan Pendakwa Raya N.Parimalaah yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan supaya lelaki itu dibebaskan dengan jaminan RM3,000.
 
Peguam Azad Bashir yang mewakili Syed Fareid, bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jaminan kepada RM1,500 atas alasan anak guamnya perlu menanggung isteri dan empat daripada tujuh anaknya.
 
Majistret Norshakinah Ahmad Kamarudin membenarkan Syed Fareid dibebaskan dengan jaminan RM2,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 29 April ini untuk sebutan semula kes.
 
Pada Isnin lepas, Azmi mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas tuduhanmencederakan tiga anak perempuan Syed Fareid dan merosakkan kereta Myvi milik  mereka di Stesen Minyak Petrn, Persiaran Kayangan, Seksyen 7, di sini pada 29 Mac lepas. 
 
Mahkamah menetapkan 23 April ini untuk sebutan semula kes pemandu teksi itu.
 
Insiden pergaduhan Azmi dengan anak-anak perempuan Syed Fareid menjadi viral di laman sosial baru-baru ini. - Bernama