DUA juruterbang Air India digantung tugas selepas kedua-dua mereka
dilaporkan bergaduh di dalam kokpit pesawat sejurus sebelum berlepas.
Portal Daily Mail melaporkan perbalahan itu melibatkan kapten dan
pembantu juruterbang semasa pesawat itu sedang membuat persiapan untuk
penerbangan selama 50 minit dari Delhi ke Jaipur malam Ahad.
Memetik akhbar Times of India melaporkan seorang sumber bahawa
pembantu juruterbang berkenaan berang selepas disuruh mencatat maklumat
kritikal penerbangan seperti jumlah penumpang, berat untuk pelepasan
pesawat dan jumlah minyak.
Tugas mereka digantung sementara siasatan dijalankan selepas kapten
bagi penerbangan A1611 mengadu bahawa pembantu juruterbang berperangai
buruk dan “menyerangnya”, lapor Times of India.
Kapten juruterbang sepatutnya boleh membuat laporan berhubung insiden
di Delhi, tetapi tindakan itu hanya menyebabkan penerbangan dibatalkan
dan penumpang akan terkandas.
Beliau kemudiannya mengambil keputusan menerbangkan pesawat itu ke
Jaipur sebelum memaklumkan tentang insiden tersebut kepada kakitangan
Air India selepas mendarat.
Seorang jurucakap Air India memberitahu media: “Kedua-dua juruterbang
itu telah digantung tugas. Satu siasatan dilakukan berhubung perkara
ini.”
Syarikat penerbangan itu bagaimanapun menegaskan tindakan
penggantungan itu hanya terhad kepada pertengkaran mulut dan tidak
melibatkan serangan fizikal. – Daily Mail