SEJAK semalam, tersebar satu laporan menyatakan tentang kejayaan
seorang pelajar dari Sabah yang berjaya ‘menjual’ ideanya kepada
syarikat enjin carian Google setelah menyertai satu peraduan.
Yusrim Karim, 15, dikatakan telah menerima tawaran lumayan
daripada Google untuk bekerjasama dengan mereka apabila idea yang
diberinya mencuri perhatian. Nak tahu tawaran apa diterimanya?
Diberi tiga pilihan, Yusrim kononnya ditawarkan untuk membuka
syarikat di bawah tajaan Google dengan nilai projek USD36 juta, berkerja
dengan Google dan bakal diberikan dana USD12 juta atau menjual ideanya
kepada syarikat tersebut dengan harga USD50 ribu.
Memang kedengaran cukup membanggakan, malah ramai yang memuji
kegigihan serta kepintaran remaja tersebut, namun semua itu rupanya
sandiwara belaka.
Menurut laporan terbaru media massa, Google telah pun mengeluarkan
kenyataan rasmi bahawa mereka tidak pernah membuat peraduan sebagaimana
didakwa dan tidak pernah menghubungi remaja terbabit.
Memetik kenyataan Ketua Jabatan Komunikasi dan Hal Ehwal Awam Google
Malaysia, Zeffri Yusoff, pihaknya menyangkal penuh laporan tentang
kejayaan remaja itu dan menganggap ia hanyalah satu helah sempena ‘April
Fool’.
Kata beliau seperti dilaporkan Harian Metro, “Kita tidak mahu panjangkan cerita ini, kami menjemput pelajar dan cikgunya datang ke pejabat untuk berikan hadiah April Fool.”
Remaja terbabit dikatakan cuma bergurau dengan guru-guru di
sekolahnya apabila mendakwa pihak Google tertarik dengan perisian ‘Coker
Chat’ yang diciptanya.
Dia mendakwa mengambil masa selama lima bulan bagi menghasilkan
format yang mampu memudahkan pengguna seluruh dunia berkomunikasi
menggunakan bahasa sendiri.
Apa-apapun, tahniah buat remaja tersebut kerana berjaya memperdayakan seluruh negara sempena ‘April Fool’!
Sumber: Mynewshub.cc