KUALA LUMPUR – Selain Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya
Persekutuan 2 (FHR2) turut terlibat dalam pemanjangan tempoh konsesi
sebagai usaha kerajaan mengurangkan bebanan bayaran tol dan kos sara
hidup pengguna lebuh raya, demikian menurut Lembaga Lebuhraya Malaysia
(LLM).
“Melalui penstrukturan semula kadar tol, pengguna kenderaan kelas 1
(kereta) kini hanya perlu membayar RM1.10 berbanding kadar tol
Perjanjian Konsesi asal iaitu RM2.40.
“Selain itu, pengguna juga boleh menikmati peratus kenaikan kadar tol yang lebih rendah,” menurut LLM dalam kenyataan hari ini.
LLM memberi contoh, kenaikan kadar tol di PLUS sebelum ini adalah 10
peratus bagi setiap tiga tahun, tetapi dengan pemanjangan konsesi
kenaikan kadar tol kini ditetapkan pada kadar lima peratus bagi setiap
tiga tahun.
Kenyataan LLM itu sebagai mengulas laporan portal berita Malaysia
Digest bertajuk “Despite Scheduled To End This Year, Federal Government
Renews Batu Tiga Toll For 20 More Years” pada 16 April lepas, bahawa
kerajaan memperbaharui kontrak konsesi, yang dijadual tamat akhir tahun
ini, dengan memperbaharuinya sehingga 2035 tanpa sebab kukuh dan
menimbulkan rasa tidak puas hati pengguna.
Laporan itu turut memetik Anggota Dewan Undangan Negeri Batu Tiga,
Rodziah Ismail yang berkata kerajaan persekutuan perlu memberi jawapan
atas dasar apa kontrak diperbaharui dan ke mana wang itu akan
disalurkan. – BERNAMA