Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. |
KOTA BAHARU – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membawa
banyak pembaharuan kepada negara terutama berkaitan perpaduan dan
pemberian pelbagai bantuan bagi meringankan beban rakyat, kata Menteri
Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata antara perkara pertama yang dilakukan Najib ketika
mengambil alih jawatan perdana menteri adalah memperkenalkan konsep
1Malaysia bagi menggalakkan perpaduan dalam kalangan rakyat.
“Tapi ramai yang salah ertikan dengan mengatakan ia menggalakkan
pluralisme,” katanya pada majlis “Malam Anugerah Kelab Media Kelantan
Darul Naim (Kemudi) 2014″ di sini, malam tadi.
Hadir sama Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Datuk Makhtar
Mustapha, Presiden Kemudi Azran Fitri Abdul Rahim dan Presiden Kelab
Wartawan Terengganu (Kawat) Ayob Mamat.
Beliau berkata Najib juga telah memperkenalkan Bantuan Rakyat
1Malaysia (BR1M) kepada golongan berpendapatan rendah kerana beliau
mempunyai rasa ihsan yang tinggi.
Menyentuh tentang pembelian pesawat eksekutif Airbus Corporate
Jetliner (ACJ320), Mustapa berkata ia adalah untuk kegunaan rasmi Yang
di-Pertuan Agong, perdana menteri dan menteri-menteri kanan.
“Ini adalah penting bagi mempercepatkan urusan kerajaan kerana bagi pemimpin, masa itu emas.
“Bagi saya, Najib dah memimpin dengan baik. Ketokohan beliau
diiktiraf di luar negara dan beliau dihormati kerana kebijaksanaannya.
Tapi dalam negara pun beliau kena hebat juga tapi malangnya beliau
dikritik hebat sejak akhir-akhir ini,” katanya.
Untuk itu, Mustapa berkata rakyat perlu memberi sokongan kepada Najib dalam meneruskan usahanya membangunkan negara.
“Saya orang lama, dah bertugas dengan tiga Perdana Menteri (Tun Dr
Mahathir Mohamed, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun
Razak). Saya pernah bertugas dengan Tun Mahathir dalam Majlis Tindakan
Ekonomi Negara. Banyak gelaran (tidak baik) yang orang beri kepada
beliau (Tun Dr Mahathir).
“Tapi kami pertahankan beliau (Tun Dr Mahathir) sebab kami fikir
beliau paling layak meneraju. Selepas itu Pak Lah (Tun Abdullah) pula.
Beliau juga banyak jasa (termasuk) memberi kebebasan kepada media,”
katanya. – BERNAMA