Kini sesiapa sahaja boleh membuka gereja: anda hanya perlu cari satu
premis kosong, bayar deposit, cacakkan papan tanda, beli beberapa
perabot dan alatan muzik, dan….Tahniah, kini anda bergelar pemilik pusat
keagamaan Kristian!
Hakikat pada masa kini ialah terdapat ribuan gereja milik persendirian yang giat beroperasi di serata Malaysia.
Ada yang bergerak aktif daripada lot rumah kedai, pejabat, gudang dan
banglo lama. Malah, terdapat juga beberapa gereja yang beroperasi di
dalam hotel.
Yang paling unik sekali sudah tentu sebuah gereja di Perak, yang
menjalankan aktiviti keagamaan daripada dalam sebuah dewan badminton!
Malaysia mungkin merupakan salah satu negara Islam yang bersikap
sangat terbuka terhadap agama lain, di mana mana-mana penganut Kristian
yang mengaku mendapat ‘hidayah’ daripada Tuhan boleh membuka dan
mengoperasikan gereja serta diberikan kebebasan untuk meneruskan
aktivitinya.
Bahkan, ramai golongan profesional yang sanggup menanggalkan jawatan
kolar putih mereka untuk menjadi pengendali gereja sepenuh masa, dengan
mengatakan bahawa mereka ‘terpanggil’ untuk membuat demikian.
Tidak tahulah apakah sebenarnya ‘mandat daripada Tuhan’ yang
disampaikan kepada individu-individu ini, namun boleh dikatakan sudah
menjadi trend bagi penganut agama Kristian untuk membuka pusat keagamaan mereka sendiri.
Malah, ada juga yang memiliki dua atau lebih buah gereja di bawah
kendalian mereka, di mana setiap satunya ditubuhkan khas mengikut bangsa
jemaahnya.
Mungkin terdapat sekelompok individu di luar sana yang sedang dalam
proses terakhir atau bercita-cita untuk membuka gereja mereka sendiri
ketika artikel ini masih ditulis. Siapa tahu?
Satu persoalan yang timbul dengan peningkatan mendadak perubuhan
gereja milik persendirian yang tumbuh bak cendawan selepas hujan ini
adalah… MENGAPA?
Jawapannya mudah… kerana mengoperasikan gereja merupakan satu bentuk perniagaan yang membawa keuntungan yang amat lumayan.
Tidak keterlaluan dikatakan bahawa tiada perniagaan yang lebih mudah,
berpengaruh dan meyakinkan daripada menjalankan pusat ibadat anda
sendiri.
Mereka tahu bahawa masyarakat cenderung untuk melakukan apa sahaja
bagi mendekati golongan yang mengabdikan diri kepada agama, jadi
kebanyakan rumah-rumah ibadat persendirian ini mewajibkan ahlinya untuk
menyalurkan 10% atau lebih daripada pendapatan bulanan mereka sebagai
‘zakat’.
Dan para ahlinya juga akan mendermakan wang mereka tanpa banyak bicara kerana ia ‘sudah tercatit di dalam kitab Injil’.
Bayangkan, jika anda mengendalikan sebuah gereja yang mempunyai
sekitar 200 ahli dan setiap seorangnya menyumbangkan RM300, sudah tentu
anda akan menerima RM60,000 daripada kutipan ‘zakat’ tersebut.
Tolak sewa premis (anggaran RM5,000) dan perbelanjaan lain (mungkin
kira-kira RM5,000 juga), pengusaha gereja akan mengaut keuntungan
sebanyak RM50,000 bersih setiap bulan: satu nilai yang lumayan, tapi
sudah namanya rezeki kan.
Dan oleh kerana aktiviti keagamaan hanya akan dilakukan setiap hari
Ahad atau hari-hari istimewa yang lain, anda mempunyai banyak masa untuk
bermain golf pada waktu senggang.
Salah sebuah gereja di Selangor mempunyai lebih 1,000 jemaah dan
sebahagian besar daripada mereka datang daripada golongan yang
berpendapatan tinggi. Gereja tersebut dikendalikan oleh seorang lelaki
tua yang terkenal dengan persembahan lagu-lagu gospelnya yang sumbang.
Mari kita lakukan kira-kira sekali lagi: 1,000 ahli x RM500 sumbangan derma= RM500,000 sebulan.
Yang paling menakjubkan adalah sewa premis tersebut tidak perlu
dibayar kerana bangunan tersebut didermakan oleh salah seorang jemaah
setia gereja tersebut yang telah meninggal dunia.
Jadi usahlah kita buang masa membaca artikel ini sehingga habis.
Hubungi ejen hartanah anda untuk mendapatkan lot rumah kedai kosong
dan jika diizinkan Tuhan, anda juga boleh membuka gereja anda sendiri.
Nota kaki: Gereja-gereja milik persendirian yang dimaksudkan
di dalam artikel ini juga dikenali sebagai gereja umum yang beroperasi
secara bebas dan majoritinya adalah milik mazhab Protestan.
Oleh: Walter Selvamoney/The Malaysian Spark