Berebut Parking Punya Pasal, Peniaga Dipukul "Ala Gangster" Di Kulim

Kedai mangsa turut dirosakkan empat lelaki dengan menggunakan rotan.
KULIM - Gara-gara berebut parkir, seorang pemilik kedai akuarium cedera dipukul dalam satu kejadian di kawasan rumah kedai dua tingkat dekat sini, kira-kira jam 8.30 malam, kelmarin.

Kejadian berlaku apabila seorang pemuda berusia lingkungan 30-an yang turut menyewa di bahagian atas rumah kedai dua tingkat dekat sini, ditegur mangsa supaya mengalihkan kenderaan yang diparkir di kawasan kedai itu.

Bagaimanapun, pertengkaran berlaku kerana penyewa tersebut enggan mengalihkan kenderaan yang diparkirnya di hadapan kedai tersebut.

Mangsa yang enggan dikenali berkata, tidak lama selepas kejadian itu, datang empat lelaki menaiki sebuah kenderaan menyerbu ke kedainya.

“Mereka meluru masuk dan memecahkan akuarium dengan rotan yang mereka bawa.

“Kemudian mereka memukul kepala, tangan dan kaki saya dengan menggunakan rotan sama,” katanya.

Akibat kejadian itu, mangsa segera membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan lanjut di sebuah klinik.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan  Chin Su Song mengesahkan menerima laporan daripada mangsa dan akan melakukan siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.