Berhijab Labuh, Berkopiah Putih Meraih Simpati...

Mohamad Husin memakai kopiah mendakwa mengutip wang untuk membantu rakan yang sedang mengajar di sebuah sekolah agama di Sik.
SUNGAI PETANI – Tiga pengemis warganegara Kemboja yang aktif meminta sedekah di Pasar Malam Taman Ria Jaya, di sini dipercayai memperdaya orang ramai menggunakan taktik berhijab labuh bagi meraih simpati.

Namun, hasil siasatan dipercayai kesemua tiga pengemis berusia antara 23 hingga 55 tahun itu sebenarnya bukan beragama Islam.

Malah, mereka juga mempamerkan kesusahan antaranya kudung kaki, membawa anak berusia dua tahun dan sedang hamil tujuh bulan bagi mengaburi mata masyarakat.

Seorang pengemis yang dikenali sebagai Liza, 23, mengakui sedang hamil tujuh bulan turut membawa anak lelaki berusia dua tahun untuk meminta sedekah.

"Suami saya curang dan mempunyai dua kekasih di Kemboja. Lalu saya bawa diri ke sini untuk teruskan hidup," dakwanya.

Seorang lagi, Vet Savouen, 46, mendakwa, dia mempunyai tujuh anak dan hanya membawa anak bongsu perempuan berumur dua tahun ke negara ini untuk mengemis.

Seorang lagi pengemis kudung, dikenali Cham, 55, berkata, biarpun berdepan kesusahan, namun dia tetap datang ke Malaysia untuk bekerja, tetapi dengan keadaan diri yang cacat, terpaksa memohon simpati meminta sedekah.

Antara pengemis dan kutu raya yang ditahan dalam operasi bersepadu semalam.
Bagaimanapun, helah yang direka mereka akhirnya terbongkar apabila ditahan dalam serbuan dilakukan 115 anggota penguatkuasa yang dijalankan secara bersepadu di seluruh daerah, semalam.

Taktik membawa kanak-kanak juga dilihat antara modus operandi bertujuan meminta simpati orang ramai dengan menderma lebih banyak wang.

Hasil soal-siasat juga mendapati mereka mengakui bukan beragama Islam dan dipercayai mempunyai ejen yang membawa masuk ke negara ini semata-mata mahu meminta sedekah.

Operasi Bersepadu Menyelamat Pengemis dan Kutu Rayau yang diketuai Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah, Adnan Abd Rashid turut disertai beberapa agensi lain termasuk Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Antara lain yang turut terlibat ialah anggota Rela, Pejabat Imigresen Sungai Petani, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah dan Pejabat Agama Daerah bermula jam 8.30 malam dan berakhir jam 12 tengah malam.

Guna kopiah tarik perhatian

Jika pengemis perempuan menggunakan taktik berhijab, tidak kurang juga bagi pengemis lelaki yang menggunakan kopiah bagi menarik simpati orang ramai sekali gus memohon derma ikhlas kepada sebuah rumah anak yatim di Sik dengan menunjukkan fail di tangan.

Mohamad Husin, 27, mengakui dari Pattani, Thailand, sedang bekerja di negara ini, namun tindakan mengutip derma dilakukan bagi membantu rakan yang didakwa sedang mengajar di sekolah agama terbabit.

"Saya kutip derma nak tolong kawan saja. Bila dapat duit, saya akan serah kepada dia di Sik. Saya datang sini untuk bekerja," katanya.

Berdasarkan pemerhatian, Mohamad Husin juga kerap dilihat orang ramai mengutip derma depan pintu bank, pasar malam dan medan selera sekitar bandar ini.

Hasil pemeriksaan di sebuah bank di Gurun turut menemui seorang lelaki warga Thailand menjadikan jualan bakul untuk mendapatkan wang di negara ini.

Namun, dia ditahan anggota Imigresen atas kesalahan guna pas lawatan selain dokumen perjalanan tamat tempoh.

Paksa jual telur burung puyuh

Hasil operasi turut menemui seorang warga emas berusia 90 tahun dari Kuala Nerang yang dipaksa meminta sedekah dan menjual telur burung puyuh.

Mangsa yang dikenali sebagai Piah membuat pendedahan, anak saudara yang membawanya ke lokasi itu disuruh berniaga dan mendapatkan wang dengan cara mudah iaitu meletakkan bekas di hadapan telur puyuh yang dijualnya.

Dakwa Piah, hasil jualan dan kutipan derma pula diuruskan anak saudara tanpa diketahui ke mana wang tersebut.

“Tok pernah diletakkan dalam penjagaan Rumah Seri Kenangan (RSK) Bedong sebelum ini tetapi ahli keluarga tidak bersetuju dan membawa pulang ke rumah. Selepas itu, dipaksa sambung jual telur burung puyuh dan meminta sedekah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Adnan berkata, seramai 13 pengemis dan kutu rayau berjaya diselamatkan dalam operasi kali ini melibatkan tangkapan tujuh warga asing termasuk dua kanak-kanak dan lapan rakyat Malaysia.

“Dalam operasi kali ini, kita juga berjaya menemui seorang remaja penerima bantuan JKM, orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran berumur 18 tahun yang merajuk keluar dari rumah tiga hari lalu dan berjaya dituntut keluarga,” katanya.

Adnan berkata, kesemua warga asing diserahkan kepada Imigresen untuk tindakan lanjut.

Sumber: Sinar Harian