Datuk Azih Muda |
KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan
Awam (Cuepacs) mencadangkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
memberi pilihan kepada pekerja berhubung had umur pengeluaran wang.
Presidennya Datuk Azih Muda berkata pekerja harus diberi pilihan sama
ada mengeluarkan wang simpanan mereka antara umur 55 dan 60 tahun.
“KWSP tidak sepatutnya hanya melihat kepentingan wang yang diuruskan
tetapi juga masa depan pekerja di negara ini,” katanya ketika dihubungi
Bernama di sini hari ini.
Beliau ditanya mengenai cadangan KWSP yang sedang menimbang
menyelaraskan umur pengeluaran simpanan persaraan ahlinya hampir kepada
usia persaraan 60 tahun.
Azih yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut berkata bukan
semua pekerja akan bekerja sehingga usia 60 dan mereka juga memerlukan
wang sebagai persediaan untuk bersara pada usia 56, 58 atau 60 tahun.
“Had umur 55 tahun pada masa kini adalah bersesuaian dan kami harap
ia dapat dikekalkan kepada semua pekerja di sektor awam dan swasta.
Katanya, terdapat pelbagai faktor seperti kesihatan, gaya hidup dan
jenis pekerjaan yang menyebabkan seseorang pekerja itu bersara awal
daripada umur 60 tahun.
“KWSP tidak berhak menahan pesara daripada mengeluarkan wang mereka
lebih awal dan jika pengeluaran wang dibuat pada umur hampir 60, akan
ramai pesara yang sukar menanggung perbelanjaan harian dan
menggunakannya untuk berbagai tujuan,” katanya lagi.
Bagi seorang bakal pesara, Mohd Jamil Daud, 55, langkah yang diambil
oleh KWSP untuk menambah baik polisi sedia ada demi kepentingan rakyat
amat dihargai namun ia haruslah dikaji semula dari setiap sudut.
“Pesara sepatutnya berhak mendapat wang persaraan mereka apabila
sudah bersara bagi memudahkan mereka membiayai kehidupan seharian.
Mohd Jamil turut mencadangkan pencarum menyertai kursus kewangan dan
pelaburan sebelum usia persaraan sebagai persediaan untuk menguruskan
wang simpanan mereka.
Sementara itu, Majlis Perhubungan Rangkaian Kesatuan Sekerja
Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) turut memandang serius perkara berkenaan
dan meminta KWSP mengekalkan had pengeluaran wang simpanan sedia ada.
Presidennya, Mohamed Shafie BP Mammal dalam satu kenyataan berkata,
perkara tersebut akan dibangkitkan pada Mesyuarat Persidangan Perwakilan
UNI-MLC pada 25 April depan selain menghantar memorandum kepada Perdana
Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
“Situasi ekonomi semasa dan kos sara hidup tinggi menyebabkan rakyat
perlu menguruskan kewangan dengan lebih baik selain mempunyai komitmen
untuk merancang masa depan sebelum bersara,” katanya.
“Tempoh pengeluaran wang carumaan yang mahu diselaraskan oleh KWSP
juga agak terlewat dan tidak relevan kerana kebanyakan pekerja pada usia
itu memerlukan wang simpanan untuk pelbagai tujuan seperti perubatan,
menjelaskan pembiayaan kewangan rumah, pendidikan anak-anak dan
menampung kos sara hidup harian.
Katanya, pulangan diberikan KWSP pada ketika ini kepada pencarum
adalah rendah (enam peratus) berbanding institusi lain seperti Amanah
Saham Nasional (ASN), Lembaga Tabung Haji dan Felda yang memberi dividen
lebih banyak daripada KWSP.
Mohamed Shafie berkata, pihaknya meminta KWSP mengkaji semula
cadangan tersebut sekali gus tidak mengambil tindakan drastik tanpa
memikirkan soal kebajikan pekerja. – BERNAMA