BMW 7-Series: Rafizi Tahu Dia Fitnah, Tapi Masih Enggan Mohon Maaf?


ALOR SETAR - Meskipun menyedari kesilapan tindakannya menuduh Kerajaan Malaysia menerusi tuduhan membeli kereta mewah model BMW 7-series adalah tidak benar, Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli masih enggan memohon maaf atas ketelanjuran tuduhannya yang berbaur fitnah itu.

Rafizi yang menyedari tindakan "salah tuduh" itu hanya mengucapkan "terima kasih" pada pihak yang bersusah payah merakam gambar kereta-kereta BMW berkenaan dan sempat menyindir kerajaan kerana tidak menggunakan wang GST untuk membeli kenderaan mewah tersebut.


"Saya telah dimaklumkan bahawa BMW Malaysia menyatakan 6 kereta BMW yang dipaparkan ditaja oleh BMW bagi persidangan ASEAN. 

"Terima kasih kepada orang ramai yang mengambil gambar dan lain-lain; syukur bukan duit GST rakyat yang digunakan untuk membeli kereta-kereta ini," kata status terbaru Rafizi berkenaan tuduhan melulu yang dia lakukan pagi tadi.

Awal pagi hari ini Rafizi memuat naik 10 gambar kereta BMW 7-series yang dipercayai telah diperoleh dari seorang "anak muda" yang kononnya "benci rasuah" dan mempersoal tentang jata negara yang terdapat pada kenderaan tersebut.


Namun menurut sumber yang Kedahnews.com peroleh, kereta-kereta mewah itu bukanlah pembelian terbaharu sebagaimana dicanang Rafizi di laman sosial Facebooknya hingga mendapat lebih 17,000 "likes" yang menyukai tuduhan tidak benar tersebut.

Sebaliknya kenderaan terbabit difahamkan adalah merupakan kemudahan pengangkutan yang disediakan oleh sebuah syarikat swasta bersempena ASEAN Summit ke- 26, yang bakal diadakan pada 26 dan 27 April ini di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Malah turut disahkan bahawa kenderaan-kenderaan itu bukanlah milik kerajaan pun!

Dalam kenyataan itu lagi, katanya sepanjang persidangan dengan menteri-menteri luar ASEAN tersebut, BMW digunakan sebagai pengangkutan rasmi sementara untuk ASEAN Summit, manakala kenderaan Mercedes Hybrid akan digunakan sebagai kereta rasmi.

Pada pandangan Kedahnews.com, kalau benar pun terlalu "kemaruk" berpolitik, tidak kira parti politik mana pun sekali, tolonglah berpolitik secara sihat dan berakhlak. 

Sebagai pemimpin, rasanya Rafizi boleh memeriksa terlebih dahulu sebelum memuat naik status yang berunsur fitnah di laman Facebook sehingga mengelirukan para pengguna lain.

Jika terus menerus berkelakuan begini, bagaimana kami hendak percaya dan hormat pada Rafizi lagi, kan?

Apa akan jadi sekiranya ramai yang terpangaruh dengan status tuduhan tidak benar yang dilemparkan Rafizi itu? Apakah pemimpin PKR itu sanggup menanggung dosa-dosa berkenaan? Na'uzbillahi min zalik.

Kami selaku sebuah portal bebas politik merayu supaya tidak dirosakkan minda warga netizen dengan dakyah-dakyah politik palsu yang mampu mengotorkan masa depan negara. -Kedahnews.com