Gambar Hiasan |
ALOR SETAR – Seorang ibu terpaksa mengharungi detik cemas selepas
anak perempuannya berusia tiga tahun terperangkap di dalam kereta hampir
setengah jam di Sungai Limau Luar, Yan pagi tadi.
Kejadian 9.20 pagi itu berlaku apabila kanak-kanak terbabit, Saerah
Umairah Mohd Sufian masuk ke dalam kereta Perodua Kenari dan tertekan
kunci keselamatan pintu kereta ketika ibunya sedang membasuh kereta di
hadapan rumah.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak Penguasa
Bomba Kanan II P. Manimaran berkata pihaknya menerima panggilan pada
9.25 pagi dan tiba di tempat kejadian pada 9.38 pagi.
“Ketika sampai, didapati kanak-kanak berkenaan sedang menangis di
dalam kereta yang kunci berada di dalamnya. Dia dikatakan masuk ke dalam
kereta itu tanpa pengetahuan ibunya,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Katanya, pihak bomba telah mengambil masa kira-kira 11 minit untuk mengeluarkan kanak-kanak berkenaan. – Bernama