Bukan Ditolak, Tapi Dibawa Ke Sidang Akan Datang

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim
ALOR SETAR - Sebarang Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian itu hanya boleh dibentangkan ke Parlimen hanya dengan kebenaran Speaker Dewan Rakyat mengikut prosedur keutamaan dan turutan pemakluman notis yang lebih awal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menjelaskan, tiada satu pun RUU Persendirian ditolak oleh Dewan Rakyat namun sebaliknya ia akan dibawa pada persidangan akan datang ekoran faktor masa yang tidak mengizinkan.

"Speaker akan memutuskan rang undang-undang ini mengikut keutamaan dan mengikut siapa yang mendahului.

"Jadi RUU persendirian ini (bidang kuasa Mahkamah Syariah) harus dihantar lebih awal kepada Speaker," katanya dalam satu kenyataan pada media di lobi parlimen, semalam.

Pada persidangan pagi semalam, Shahidan memaklumkan bahawa Dewan Rakyat tidak akan berhenti bersidang selagi mana RUU Hasutan (Pindaan 2015), termasuk usul Kementerian Kewangan, diluluskan pada hari ini.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen (BN-Arau) berkata, RUU persendirian lain telah dibawa lebih awal berbanding RUU yang akan dibawa oleh Ahli Parlimen (Pas-Marang), Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Semalam, kerajaan terpaksa menolak tiga RUU disebabkan kita merasakan tidak cukup masa sedangkan RUU itu cukup penting iaitu bil pemerdagangan manusia kerana ia ada hubung kait dengan antarabangsa dan pihak Amerika Syarikat.

"Kemudian bil itu biarlah cukup tempoh. Kita kena ingat bahawa hari ini kita menghadapi masalah disebabkan kekurangan masa untuk membincangkan bil Akta Hasutan," jelasnya lagi.

Ketika ditanya tentang pendirian UUMNO dan BN berhubung RUU yang bakal dibawa Abdul Hadi itu, beliau bagaimanapun mengatakan bahawa tindakan UMNO Kelantan mestilah mendapat restu daripada ibu pejabat parti itu sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya.

"Adakah UMNO Kelantan itu UMNO persendirian Kelantan, itu adalah UMNO Persekutuan, itu adalah UMNO Pusat, itu adalah UMNO Malaysia yang akan berurusan memberikan pandangan," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pendirian itu tidak sewajarnya dibebankan kepada Presiden parti itu, Datuk Seri Najib Tun Razak semata-mata.

"Sebab apa UMNO Kelantan telah buat keputusan mengenai hudud, adakah itu keputusan UMNO Kelantan.

"UMNO Kelantan juga seperti parti-parti lain tidak buat sesuatu benda tanpa kebenaran daripada ibu pejabat," katanya Shahidan yang juga merupakan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis. -Kedahnews.com