Dayangku Raabi’atul Adawiyah binti Pengiran Haji Bolkiah |
Pada minggu lalu, Brunei menjadi perhatian antarabangsa apabila salah
seorang anak kepada Sultan Brunei, Sultan Hasanal Bolkiah iaitu
Pengiran Abdul Malik telah melangsungkan perkahwinannya secara gilang
gemilang.
Pasangannya, Dayangku Raabi’atul Adawiyah binti Pengiran Haji Bolkiah
turut menjadi perbualan ramai apabila tampil mempersona dengan
persalinan mewah termasuk sepatu bertatah berlian dan perhiasan dari
emas serta permata.
Namun, selain dari kecantikkannya, tak ramai yang tahu bahawa
Rabiaatul pernah menyertai pertandingan ratu cantik muslimah dan
dinobatkan sebagai qariah terbaik dunia.
Menurut laporan, pada tahun 2013, Adawiyah pernah menyertai
pertandingan ‘Miss World Muslimah’ dan berjaya merangkul gelaran ‘The
Best Muslimah Al-Quran Recital’ setelah berjaya memperdengarkan
bacaannya dengan lancar.
Ia turut diakui sendiri oleh suaminya, Pengiran Abdul Malik dalam
satu luahannya terhadap Adawiyah.
Jelasnya lanjut, isterinya itu
sememangnya memiliki sifat-sifat wanita yang sangat sopan dan terpuji.
"Yang Mulia Dayangku Raabi’atul Adawiyah binti Pengiran Haji
Bolkiah sudah terbiasa dengan didikan keagamaan dan sikap bersopan
santun daripada kedua-dua ayahanda dan bonda dalam menjaga akhlak dan
juga sikap hormat-menghormati di antara satu dengan yang lain, bahkan
keupayaannya dalam menjaga adinda-adinda ketika keduanya sibuk dengan
tugasan merupakan satu kelebihan yang dimilikinya.
"Berkat didikan keagamaan yang begitu kuat daripada sekolah
agama lagi serta bimbingan daripada ayahanda dan bonda yang begitu
memperhatikan pendidikan agama, lebih-lebih lagi bondanya Pengiran Hajah
Noor’aismah binti Pengiran Haji Ismail, seorang guru agama mengajar
pelajaran Al-Quran telah memberi inspirasi kepadanya mengikuti beberapa
peraduan membaca Al-Quran antaranya mewakili sekolah agama dan menyertai
pertandingan tersebut yang diadakan di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah pada
2005 dan mengikuti Skil Tilawah Al-Quran remaja pada 2008, di samping
pernah mengikuti program Membaca Mandiri Minda di Sekolah Menengah
Mengliat pada 2005.
"Dengan kejayaan ini turut membawanya berjaya
mendapat gelaran Pembaca Al-Quran Terbaik Muslimah (Best Muslimah
Al-Quran Recital) keseluruhan dari semua aspek pada 2013 apabila berjaya
mewakili negara dalam pertandingan Wanita Muslimah di Republik
Indonesia yang bersangkut paut dengan aktiviti keagamaan," katanya.
Bahkan, Pengiran Abdul Malik turut mengharapkan agar sikap positif
yang dimiliki suri hatinya itu dapat menjadi inspirasi dan teladan
kepada kaum hawa di negaranya.
Bukan sahaja menawan dan sedap mata memandang, Dayangku Raabi’atul
Adawiyah turut membuktikan dirinya memiliki harta paling berharga iaitu
ilmu. -Kedahnews.com